AM

TUJUH JAMBATAN BAHARU AKAN DIBUKA MENJELANG AKHIR TAHUN INI - UGGAH

27/03/2025 08:41 PM

KUCHING, 27 Mac (Bernama) -- Sebanyak tujuh projek jambatan di Sarawak dijangka siap dan dibuka untuk kegunaan orang ramai menjelang akhir tahun ini, kata Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata jambatan terbabit ialah Batang Lupar 1, Batang Saribas 1, Batang Limbang, Batang Lingga, Batang Igan, Batang Sebauh dan Sejingkat.

“Setakat tahun ini, kita telah membuka empat jambatan termasuk Jambatan Bintulu-Jepak yang ikonik baru-baru ini, Jambatan Muara Lassa, Jambatan Marudi dan hari ini, Jambatan Batang Rajang,” menurutnya dalam kenyataan di sini.

Hari ini, Uggah menghadiri majlis prapelancaran Jambatan Batang Rajang sepanjang 1.4 kilometer di Sarikei.

Projek itu, yang menelan kos sebanyak RM321 juta, turut membabitkan pembinaan Jalan Long Pasi/Tanjung Manis/Sibu sepanjang 17 kilometer.

Jambatan dan jalan itu akan mengurangkan tempoh perjalanan dari Tanjung Manis ke Sibu kepada kira-kira sejam berbanding dua jam 30 minit menggunakan jalan lama.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan