AM

SAMBUTAN UGADI LAMBANG PERPADUAN DALAM KEPELBAGAIAN – AARON 

30/03/2025 02:54 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Semangat Tahun Baharu Ugadi yang disambut masyarakat Telugu hari ini sejajar dengan prinsip perpaduan negara kerana ia berteraskan kegembiraan, kebersamaan dan kebajikan, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Aaron menerusi catatan di Facebook hari ini berkata sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, Malaysia kaya dengan kepelbagaian budaya yang menjadi aset berharga dalam mengukuhkan perpaduan nasional.

Beliau berkata memperkukuh keharmonian, memahami tradisi dan budaya setiap masyarakat adalah langkah utama dalam membentuk komuniti yang saling menghormati.

“Misalnya, perayaan Ugadi bukan sekadar sebuah sambutan tetapi juga satu refleksi nilai-nilai yang boleh dipelajari dan dihargai bersama,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa sikap saling menghormati amat penting bagi mewujudkan suasana hidup yang aman dan harmoni dalam kalangan masyarakat.

“Dalam kemajmukan masyarakat Malaysia, setiap perayaan perlu diraikan dengan sikap toleransi serta penghormatan terhadap kepercayaan dan adat resam masing-masing.

“Kita juga perlu menerima kepelbagaian sebagai satu kekuatan negara yang akan menjadikan kita lebih bersatu. Apabila kita menerima perbezaan dengan hati terbuka, kita bukan sahaja memperkukuh perpaduan, malah mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif dan progresif,” tambahnya.

Beliau turut berharap agar sambutan Ugadi yang menandakan permulaan tahun baharu dalam kalendar lunisolar Hindu membawa keberkatan, kejayaan dan kebahagiaan kepada semua yang meraikannya.

Ugadi, yang berasal daripada gabungan perkataan Sanskrit Yuga (zaman) dan Adi (permulaan) adalah sambutan Tahun Baharu mengikut kalendar lunisolar Hindu, khususnya diraikan masyarakat di India Selatan seperti Andhra Pradesh, Telangana dan Karnataka.

Di Malaysia, ia disambut komuniti Telugu sebagai permulaan tahun baharu yang membawa harapan dan pembaharuan.

-- BERNAMA


 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan