KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Capital A Bhd sedang mendapatkan kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Bhd untuk lanjutan tempoh sehingga 15 April, 2025, bagi mengeluarkan pekeliling pemegang saham mengenai cadangan pelan penyusunan semula Nota Amalan 17 (PN17).
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat penerbangan tambang rendah itu, melalui penasihatnya RHB Investment Bank Bhd menjelaskan berdasarkan Perenggan 9.33(1)(b)(i) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Securities, syarikat mesti mengeluarkan pekeliling itu kepada pemegang sahamnya dalam tempoh 14 hari pasaran selepas menerima pengesahan Bursa Securities bahawa bursa tidak mempunyai ulasan lanjut.
Pada 7 Mac, 2025, Capital A memaklumkan Bursa Securities telah meluluskan pelan penyusunan semulanya, menandakan satu langkah penting untuk syarikat keluar daripada status PN17.
Pada 10 Mac, 2025, Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Tony Fernandes memberitahu pemberita bahawa syarikat itu dijangka keluar daripada status PN17 menjelang Mei 2025.
-- BERNAMA