SUBANG JAYA, 27 Mac (Bernama) -- Program Singgah MADANI bukan sahaja membantu meningkatkan pengetahuan para pembeli mengenai usaha dan dasar kerajaan, tetapi juga menawarkan harga yang lebih berpatutan untuk keperluan harian.
Inisiatif ini secara langsung meringankan beban perbelanjaan, memberi peluang kepada rakyat untuk memenuhi keperluan mereka tanpa perlu risau tentang kos yang tinggi terutama menjelang musim perayaan.
Berbeza dengan inisiatif Jualan Rahmah MADANI yang menawarkan barangan asas pada harga berpatutan, program Singgah MADANI pula berbentuk advokasi mengenai usaha dan dasar yang dilaksanakan Kerajaan MADANI dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Program Singgah MADANI yang berlangsung di Pasaraya Mydin USJ, dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini hari ini.
Antara pengisian program ialah Forum Cakna Kenegaraan yang dikendalikan oleh Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dan Kempen Penurunan Harga Barangan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Sementara itu, tinjauan Bernama di pasar raya tersebut mendapati ratusan pembeli sedia menunggu sejak awal pagi, semata-mata tidak mahu melepaskan peluang untuk membeli barangan keperluan harian termasuk barang mentah sempena Hari Raya Aidilfitri pada harga yang sangat berpatutan, di samping menyertai kempen.
Suri rumah, Nur Hidayah Hatta, 45, berkata selain mendapatkan barangan pada harga rendah, kempen itu nyata memberikan kesedaran kepadanya dalam mengetahui lebih lanjut inisiatif yang dilaksanakan kerajaan.
"Memang sangat bagus inisiatif sebegini. Gabungan elemen advokasi dan promosi barangan pada harga murah sememangnya memberi manfaat berganda kepada rakyat.
"Kalau kita tengok program ini, harga minyak botol 5 kilogram (kg) kebiasannya berharga lebih RM30 tapi hari ini RM23 sahaja. Saya rasa memang baguslah, apatah lagi kita nak raya dan langkah kerajaan ini sangat bertepatan," katanya.
Bekas kakitangan swasta Abdul Aziz Ahmad, 67, pula berkata program Singgah MADANI diharapkan dapat diperluas bagi menyampaikan penerangan berterusan kepada masyarakat mengenai usaha yang dijalankan kerajaan dalam membantu rakyat.
Beliau turut bertuah dapat berjimat dengan pembelian barangan mentah pada waktu ‘happy hour’ yang ditawarkan di Mydin.
“Dapatlah juga berpeluang beli ayam pada harga RM1 sekilogram. Harga yang ditawarkan ini memang ‘tidak masuk akal’, saya pun sangat terkejut dan terima kasih kerajaan kerana mengadakan program sebegini,” katanya yang merupakan 500 pembeli terawal merebut tawaran terhad itu.
Sementara itu, suri rumah Khatijah Alias, 37, berkata tawaran harga murah itu tidak dilepaskannya walaupun hajat asal adalah untuk membeli sedikit barangan keperluan sahaja.
“Niat awal datang ke Mydin ini hanya untuk membeli satu dua barang sahaja tetapi saya terbeli banyak benda pula termasuk minyak masak, ayam mentah sebab tawaran harga yang sangat murah dan tidak dapat di tempat lain. Jadi ia sudah tentulah dapat jimat sikit duit untuk raya," katanya.
-- BERNAMA