AM

PAIP AKTIFKAN PELAN KESIAPSIAGAAN, PASTIKAN BEKALAN AIR OPTIMUM KETIKA AIDILFITRI

28/03/2025 09:58 AM

KUANTAN, 28 Mac (Bernama) -- Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) telah melaksanakan Pelan Kesiapsiagaan dan Operasi Tunggu Sedia untuk memastikan bekalan air kepada pengguna kekal optimum ketika sambutan Aidilfitri kali ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PAIP Datuk Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata pelan itu telah diaktifkan sejak Isnin lalu sehingga 6 April depan untuk menghadapi peningkatan mendadak penggunaan air. Berdasarkan unjuran, penggunaan air semasa musim perayaan dijangka mencecah 1,600 juta liter sehari (JLH) berbanding 1,449 juta JLH pada hari biasa.

“Beberapa kawasan berkemungkinan mengalami gangguan bekalan air atau tekanan air rendah akibat lonjakan penggunaan, terutama di kawasan Felda dan kampung tradisional.

“Sehubungan itu, kami telah merangka tiga langkah utama iaitu penyelenggaraan awal keperluan operasi, memastikan bekalan operasi mencukupi, dan membuat persediaan untuk menghadapi sebarang insiden luar jangka,” katanya pada sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim Nur Iman dan Pengamal Media Negeri Pahang di sini, semalam.

Saiful Zaini berkata PAIP telah menjalankan penyelenggaraan pencegahan sejak Januari lepas bagi memastikan setiap Loji Rawatan Air (LRA) berfungsi dengan baik. Langkah itu termasuk kerja-kerja mencuci muka sauk serta menyelenggara peralatan mekanikal di LRA.

“Seterusnya, kita memastikan keterjaminan bekalan keperluan operasi yang mencukupi seperti bekalan bahan kimia, alat ganti dan kelengkapan peralatan tunggu sedia agar operasi semasa musim perayaan tidak terjejas.

“Selain itu, PAIP telah mengambil tindakan perancangan tunggu sedia untuk sebarang insiden luar jangka seperti paip pecah, terputus bekalan elektrik di LRA atau pencemaran sumber air mentah," katanya.

Beliau berkata antara perancangan tindakan tunggu sedia itu ialah penyediaan 1,288 lori tangki statik, 38 lori tangki PAIP, perkhidmatan Lori Tangki Jumbo (Jumbo Tanker) dan penyediaan stesen pengisian (filling station) di seluruh Pahang.

“PAIP juga melantik kontraktor pembaikan tunggu sedia di setiap daerah, menyediakan generator di LRA berisiko tinggi dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB), serta memastikan anggota operasi bertugas sepanjang tempoh ini,” jelasnya.

Dalam pada itu Datuk Saiful Zaini menasihatkan orang ramai agar menggunakan air secara berhemah, menyediakan tadahan mencukupi, dan mengurangkan penggunaan air pada waktu puncak.

“Melalui perancangan rapi ini, kami optimis mampu menangani sebarang gangguan air dengan lebih baik, selain memastikan kakitangan PAIP bertindak pantas,” katanya.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan