MELAKA, 31 Mac (Bernama) -- Penduduk sekitar Padang Temu di sini meraikan 1 Syawal dengan keunikan tersendiri apabila menunaikan solat sunat Aidilfitri di lokasi terbuka di dataran Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Temu hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Padang Temu Mohd Nazri Aziz berkata solat sunat Aidilfitri di kawasan terbuka yang dihadiri hampir 2,000 penduduk itu adalah pertama kali dianjurkan di negeri berkenaan, selari dengan sunnah Rasulullah SAW.
“Sudah tentu ia sebagai kaedah terbaik dalam mengeratkan silaturahim antara penduduk. Ia dilaksanakan di dataran sekolah ini kerana kapasiti kebanyakan surau yang ada adalah terhad, manakala masjid pula hanya mampu menampung sekitar 700 jemaah. Jumlah jemaah bertambah setiap kali hari raya.
“Jadi, lembaga pengurusan Masjid Ar-Raudhah Padang Temu memilih untuk mengadakan solat sunat di kawasan lapang dan kami berterima kasih kepada pihak sekolah yang sudi menjadikan kawasan dataran sebagai lokasi solat. Jabatan Mufti Melaka juga memberi sokongan serta kelulusan,” katanya kepada Bernama.
Terdahulu, solat sunat Aidilfitri yang bermula pukul 8 pagi itu dipimpin Imam 1 Masjid Ar-Raudhah Wan Muhammad Ashraf Mansor@Mohd, manakala khutbah disampaikan Imam 2 Muhammad Muzairy Idris.
Mohd Nazri berkata pelaksanaan solat sunat di lokasi terbuka itu akan diteruskan pada tahun depan sekiranya mendapat sambutan positif daripada penduduk.
“Setahu saya, hanya di Perlis pernah melaksanakan solat sunat raya di tempat terbuka,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk Azrina Kamal, 26, berkata beliau teruja apabila berpeluang menunaikan solat sunat Aidilfitri di lokasi terbuka.
“Selalunya kita solat di masjid, selesa dengan penyaman udara atau kipas dan permaidani tebal, tetapi (solat) di lokasi terbuka ini memberi satu perasaan yang sangat indah.
“Satu pengalaman baharu dan saya harap pada masa akan datang, solat sunat hari raya sebegini (di tempat terbuka) dapat diteruskan di lebih banyak tempat,” katanya.
-- BERNAMA