EKONOMI

PELABUR ASING PILIH ASET MALAYSIA YANG LEBIH SELAMAT KETIKA PASARAN TIDAK MENENTU

28/03/2025 01:47 PM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Pasaran saham yang tidak menentu, didorong oleh ketidaktentuan ekonomi global dan perubahan dasar menyebabkan pelabur terkesan, justeru menggalakkan peralihan kepada dana pasaran wang domestik untuk kestabilan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menyangkal persepsi pelabur asing meninggalkan pasaran domestik sebaliknya memaklumkan mereka menempatkan dana dalam aset lebih selamat di samping mengekalkan keterlibatan di pasaran Malaysia.

"Pasaran saham global kekal tidak menentu. Walaupun pelabur asing meneruskan jualan bersih di Bursa Malaysia, perlu dilihat bahawa rizab mata wang asing Malaysia semakin baik.

“Kami juga mendapati peralihan ke arah instrumen pasaran wang yang menawarkan pulangan sederhana tetapi masih menghasilkan kira-kira tiga peratus.

"Kami berpendapat mereka memilih untuk mengekalkan mudah tunai dalam pasaran wang," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata sehingga Februari, pemilikan asing dalam Bil Perbendaharaan Malaysia berada pada 52.7 peratus manakala rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia meningkat kepada US$118.0 bilion pada 14 Mac 2025, menokok daripada US$116.4 bilion pada akhir Januari (US$1 = RM4.43).

“Ini mungkin menjelaskan mengapa ringgit kekal berdaya tahan. Pelabur asing masih berada dalam pasaran kewangan Malaysia," katanya.

Sebelum ini Mohd Afzanizam menekankan bahawa walaupun berdepan cabaran global, ringgit telah meningkat 0.85 peratus setakat ini pada tahun ini, memegang kedudukan sebagai mata wang keempat terbaik di Asia.

Menurut data Bloomberg, ringgit Malaysia adalah keempat terbaik dalam kalangan mata wang negara sedang pesat membangun, menyusuli yen Jepun, dolar Singapura dan renminbi China luar pesisir.

Sebaliknya, mata wang negara rakan setara utama Indonesia dan Turki menghadapi penjualan ketara minggu lepas, menjejaskan sentimen merentas kelas aset.

Rupiah Indonesia mengalami tekanan, susut 2.97 peratus setakat ini bagi tahun ini, mendorong Bank Indonesia melakukan operasi ke atas pasaran mata wang untuk membendung penyusutan itu.

Rupiah susut kepada paras terendah, yang pernah berlaku ketika Krisis Kewangan Asia 1997-1998, menjadikannya mata wang berprestasi paling buruk di rantau ini dan meningkatkan kebimbangan pasaran.

"Walaupun pelabur kekal berhati-hati, ini secara tidak dijangka telah mendorong minat terhadap aset dalam denominasi ringgit," katanya.

Menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd dalam laporan aliran dana ‘From Growth to Gridlock,' pelabur asing meneruskan jualan ekuiti di Bursa Malaysia bagi minggu ke-22 berturut-turut dengan aliran keluar dana asing berjumlah RM1.25 bilion.

Trend ini tidak hanya berlaku di Malaysia. Laporan itu menjelaskan pelabur asing kekal sebagai penjual bersih di lapan pasaran Asia dengan jumlah aliran keluar dana mencecah US$564.9 juta pada minggu lepas.

Pasaran Korea Selatan mendahului pasaran serantau dengan mencatat aliran masuk bersih sebanyak US$1.68 bilion berbanding aliran keluar selama sembilan minggu berturut-turut, sebelum ini.

Sementara itu, saham Indonesia susut 1.6 peratus pada Jumaat lepas yang juga minggu urus niaga yang mencabar apabila kebimbangan terhadap kesihatan fiskal negara, dasar kerajaan dan penurunan permintaan melembapkan keyakinan pelabur.

 Indeks penanda arasnya telah merosot lebih 11 peratus pada tahun ini yang menjadikannya antara terburuk di Asia, menyebabkan rupiah terus lemah dengan penurunan bagi minggu kedua berturut-turut.

Ketidaktentuan pasaran terus ketara akibat potensi impak tarif perdagangan Amerika Syarikat, mendorong pelabur untuk mencari aset lebih selamat seperti emas.

Kebanyakan mata wang Asia lemah manakala pasaran saham serantau menunjukkan prestasi bercampur-campur.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan