KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- NEXG Bhd memeterai perjanjian jual beli dengan vendor untuk mengambil alih 175 juta saham biasa yang mewakili 7.58 peratus kepentingan ekuiti dalam MMAG Holdings Bhd pada harga RM70 juta.
Menurut NEXG ia mengambil alih 45 juta saham MMAG pada 5 Mac 2025, mewakili kepentingan ekuiti 1.95 peratus, dengan harga RM18 juta melalui urus niaga perniagaan langsung daripada pihak yang tidak berkaitan.
“Perjanjian jual beli ini hendaklah selesai dalam tempoh dua hari waktu perniagaan daripada tarikh urus niaga dan akan dianggap muktamad apabila mengkreditkan saham MMAG -- bebas daripada apa-apa bebanan kepada akaun sekuriti NEXG.
"Selepas pelaburan ini, NEXG akan menjadi pemegang saham utama MMAG pada tarikh pengumuman berkenaan," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
NEXG berkata pelaburan ini memberi peluang kepada kepelbagaian dalam sektor lain terutama dalam perniagaan pengurusan rantaian bekalan MMAG.
"NEXG boleh menawarkan penyelesaian reka bentuk keselamatan dan perindustrian yang komprehensif melalui sokongan logistik bersepadu dengan memanfaatkan perkhidmatan logistik, pergudangan dan penerbangan MMAG," katanya.
Menurutnya kepentingan yang besar mengukuhkan kemampuannya agar seiring dengan strategi pertumbuhan MMAG dan meneroka potensi kerjasama dalam logistik dan penyelesaian dipacu teknologi.
“Pelaburan itu tidak akan menjejaskan modal saham NEXG atau pegangan saham pemegang saham besar memandangkan ia tidak melibatkan terbitan saham biasa baharu.
“Ia dijangkakan tidak memberi sebarang kesan penting serta-merta kepada aset bersih, pendapatan atau tahap kadar hutang kumpulan tetapi dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan dan pendapatan sesaham NEXG," katanya.
-- BERNAMA