EKONOMI

BANK MUAMALAT PERUNTUK LEBIH RM500,000 MELALUI INISIATIF CSR SEPANJANG RAMADAN

28/03/2025 12:32 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Bhd memperuntukkan lebih RM500,000 di bawah pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) pada sepanjang Ramadan ini.

Secara keseluruhannya, sebanyak lebih 5,000 orang daripada golongan asnaf, anak yatim, fisabilillah, muallaf dan lain-lain telah mendapat manfaat daripada program Ziarah Ramadan, majlis berbuka puasa di empat wilayah serta edaran pek makanan iftar yang telah dianjurkan.

“Selain itu, beberapa cawangan Bank Muamalat di setiap negeri juga menganjurkan program edaran bubur lambuk kepada orang ramai dengan jumlah penerima keseluruhan 7,000 orang,” menurut bank itu dalam kenyataan pada Jumaat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Khairul Kamarudin berkata pihaknya amat berbesar hati dengan kesungguhan kakitangan Bank Muamalat yang memberikan komitmen sangat tinggi untuk sama-sama menjayakan program CSR yang telah direncanakan.

“Kami di Bank Muamalat amat bersyukur dapat melaksanakan program CSR sepanjang Ramadan yang bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan malah juga mengukuhkan hubungan kami dengan komuniti,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan