SUKAN

PIALA DUNIA ISTAF 2025: AHMAD JAIS KECEWA PASUKAN LELAKI GAGAL CAPAI SASARAN

28/03/2025 02:40 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Ketua jurulatih skuad sepak takraw lelaki negara, Ahmad Jais Baharun mengakui kecewa dengan persembahan ditampilkan anak buahnya apabila gagal mencapai sasaran ditetapkan di Piala Dunia Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) di Bihar, India, yang berakhir Selasa lepas.

Ahmad Jais berdasarkan berdasarkan post mortem yang dilakukan barisan kejurulatihan semalam, masih banyak aspek yang perlu diperbaiki oleh pemain terutama menjelang Piala Asia yang akan berlangsung pada 9-18 Mei 2025 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

“Bagi saya, memang kecewa apabila skuad double dan quadrant kita gagal melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu layak ke final. Berdasarkan post mortem yang kita buat beberapa elemen dalam permainan seperti servis dan serangan kita masih kurang dan perlu diberi penekanan khusus.

“Jadi benda-benda ni semua kita ambil sebagai satu perkara penting untuk kita perbaiki daripada semasa ke semasa selain meningkatkan lagi kualiti pemain kita sebelum turun beraksi di gelanggang Piala Asia nanti,” katanya kepada Bernama.

Sebelum ini skuad sepak takraw lelaki negara menamatkkan saingan Piala Dunia ISTAF 2025 dengan membawa pulang satu gangsa dalam acara double selepas tewas di separuh akhir kepada seteru utama Thailand.

Bagi acara quadrant pula skuad negara gagal melepasi peringkat kumpulan selepas menamatkan saingan di tempat ketiga di belakang Vietnam dan Myanmar.

Pada edisi kali ini, Malaysia tidak menyertai kategori regu memandangkan acara itu hanya disertai oleh pasukan yang mendapat jemputan tuan rumah.

Sementara itu, ketika diminta mengulas persembahan memukau tuan rumah yang mencipta kejutan memenangi acara regu lelaki, Ahmad Jais mengakui sukan sepak takraw kini mula berkembang pesat di India.

Justeru, beliau berkata negara gergasi sepak takraw dunia perlu berwaspada dengan India yang dilihat mampu menjadi kuasa besar sukan itu pada masa akan datang.

“Kalau kita tengok India antara negara yang semakin serius dalam sukan sepak takraw dan ia dibuktikan apabila mereka memenangi acara regu lelaki.

“Jadi negara besar sepak takraw seperti Malaysia tidak boleh terlalu selesa dengan apa yang kita miliki sekarang dan perlu mempergiatkan usaha untuk meningkatkan mutu permainan,” katanya.

Terdahulu, India mencipta sejarah apabila memenangi Piala Dunia ISTAF buat kali pertama selepas menewaskan Jepun 2-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung Selasa lepas. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan