ISTANBUL, 31 Mac (Bernama-Anadolu) -- Pergerakan Hamas dalam perutusan sempena Aidilfitri pada Ahad menegaskan bahawa sambutan tahun ini berlangsung dalam keadaan rakyat Palestin di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis terus berdepan "keganasan Zionis yang kejam di tengah-tengah kepungan, kebuluran, pembunuhan, dan kemusnahan."
"Dalam menyambut Aidilfitri yang penuh keberkatan ini, kami mengenang ketabahan rakyat kami serta perjuangan mereka yang berani.
"Aidilfitri tahun ini hadir ketika rakyat kami di Gaza, Tebing Barat, dan Baitulmaqdis menghadapi serangan ganas Zionis, berdepan sekatan yang menyesakkan, kebuluran, pembunuhan, serta kemusnahan—semuanya akibat diamnya masyarakat antarabangsa dan sokongan tidak berbelah bahagi Amerika Syarikat kepada penjajah," kata Hamas dalam kenyataan yang dipetik Anadolu Ajansi.
Hamas turut menyeru dunia Arab dan umat Islam agar "menggandakan usaha dalam menyokong rakyat Gaza, mengambil tanggungjawab untuk menggerakkan kebangkitan massa, meningkatkan tekanan bagi menamatkan serangan dan sekatan, serta mempertahankan perjuangan rakyat Palestin yang sah."
Sejak awal pagi Aidilfitri, Israel terus melancarkan serangan udara ke atas pelbagai kawasan di Gaza, mengakibatkan banyak kematian dan kecederaan.
Meskipun berdepan serangan Israel yang berterusan, ratusan ribu rakyat Palestin menunaikan solat Aidilfitri di atas runtuhan masjid yang musnah, di pusat perlindungan pelarian, serta di sekeliling sisa kediaman mereka yang hancur.
-- BERNAMA-ANADOLU