JENAYAH & MAHKAMAH

KASTAM SELANGOR RAMPAS MERCUN, BERAS DAN SKRAP LOGAM LEBIH RM18 JUTA

28/03/2025 03:16 PM

PELABUHAN KLANG, 28 Mac (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor menggagalkan cubaan menyeludup masuk tiga jenis komoditi iaitu beras, mercun dan sisa logam dengan anggaran nilai RM18.32 juta, termasuk duti serta cukai. 

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Selangor Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata rampasan itu dibuat menerusi Op Barrier bermula 20 hingga 30 Jan lepas diikuti Op Petasan pada 3 hingga 28 Mac. 

"Bahagian Penguatkuasaan telah menahan 32 kontena bersaiz 40 kaki di gudang pengimport mercun berdaftar di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Johor serta menemukan sejumlah mercun pelbagai jenis yang tidak mematuhi spesifikasi teknikal dan garis panduan Permit Import yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya kepada pemberita di Pejabat Kastam Selangor Pelabuhan Utara di sini hari ini.

Ahmad Taufik berkata kuantiti sitaan bagi kedua-dua operasi berkenaan berjumlah 57.8 metrik tan, dengan anggaran nilai berjumlah RM1.48 juta membabitkan duti dan cukai berjumlah RM978,247.

JKDM Selangor turut menyita 544.8 tan metrik beras bernilai RM2.01 juta dengan duti dan cukai berjumlah RM805,651 selepas didapati diimport tanpa permit.  

"Kastam telah menahan dan memeriksa sebuah kontena bersaiz 20 kaki dalam kawasan Zon Bebas Pelabuhan Utara pada 17 Feb dan menemukan 19.7 tan metrik beras diikuti 525 tan metrik beras di dalam 20 kontena lagi di Pelabuhan Barat.

"Pemeriksaan pertama mendapati pengimport tidak mengikrarkan dagangan beras menerusi Borang 1, sebaliknya menyatakan bertih beras, snek, serbuk ketumbar, serbuk kunyit, kari ayam, serbuk masala dan natrium klorida bagi mengaburi JKDM," katanya.

Ahmad Taufik berkata pihaknya turut menyita 69 kontena bersaiz 40 kaki dengan muatan 1,662.7 tan metrik sisa besi dan aluminium bernilai RM13.07 juta menerusi Op Tinman yang dijalankan di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Barat bermula 1 hingga 28 Feb.

Muatan kontena itu diikrarkan sebagai aloi aluminium, serpihan tembaga, serpihan aluminium dan bahagian jentera. 

"Ketiga-tiga kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan