AM

OP HRA: LANGGAR LAMPU ISYARAT KESALAHAN PALING TINGGI - JPJ SELANGOR

28/03/2025 03:38 PM

DENGKIL, 28 Mac (Bernama) -- Kesalahan melanggar lampu isyarat lalu lintas antara paling tinggi dikesan dalam Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 yang dilaksanakan di Selangor bermula 24 Mac lepas.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor Azrin Borhan berkata daripada 115 kes yang dikesan setakat hari ini, 81 daripadanya adalah kesalahan melanggar lampu isyarat diikuti memandu di lorong kecemasan sebanyak 10 kes.

"Kesalahan langgar lampu isyarat kebanyakannya melibatkan kereta dan motosikal," katanya pada sidang media Op HRA di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil di sini hari ini.

Dalam Op HRA kali ini, Azrin berkata JPJ Selangor memfokuskan kesalahan melibatkan memandu di lorong kanan secara berterusan, memandu di lorong kecemasan dan menggunakan telefon bimbit.

Beliau berkata Op HRA 2025 dan Kempen Keselamatan Jalan Raya "Pandu Selamat, Sampai Selamat" bermula 24 Mac hingga 8 April ini, bertujuan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khusus di musim perayaan dengan strategi menyeluruh.

"Operasi kali ini, JPJ Selangor memfokuskan objektif strategik penguatkuasaan ketiga dan keempat iaitu memantau kelancaran dan kecekapan operasi perkhidmatan pengangkutan awam dan juga melibatkan larangan pemanduan kenderaan barangan dan kesalahan berjadual," katanya.

Azrin berkata tindakan penyamaran anggota JPJ sebagai penumpang bas ekspres telah bermula dengan fokus destinasi ke Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Johor.

"Setakat ini, berdasarkan laporan awal yang diterima kebanyakan pemandu bas dan pembantunya mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan