KOTA BHARU, 28 Mac (Bernama) -- Masjid Mahmudi Mukim Kedai Melor yang mengalami kerosakan teruk akibat banjir pada penghujung November tahun lepas memerlukan dana RM4.7 juta untuk kerja-kerja naik taraf.
Imam masjid berkenaan Wan Ziadul Khair Wan Mustafha berkata setakat ini pihaknya sudah menerima sumbangan derma kira-kira RM200,000 sejak dana mula dilancarkan juga pada November tahun lepas.
"Kerugian menukar permaidani terpaksa ditanggung dan setelah sebulat suara berbincang bersama jawatankuasa atasan serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK), kami bercadang untuk menaik taraf masjid," katanya kepada Bernama di Masjid Mahmudi Mukim Kedai Melor di sini hari ini.
Naik taraf berkenaan melibatkan projek meninggikan paras lantai hingga 1.8 meter memandangkan masjid terletak hanya 150 meter dari Sungai Melor.
Wan Ziadul Khair berkata kerja perobohan masjid tertua di Melor itu sudah bermula seawal Disember tahun lepas melibatkan bahagian bangunan lama yang dibina sejak 1959.
Sementara itu, bendaharinya Ahmad Fauzi Mustapha berkata masjid itu juga menjadi pusat pengajian agama dan aktiviti kebajikan bagi masyarakat setempat.
“Masjid berkenaan diharap terus menjadi simbol perpaduan masyarakat di kawasan setempat dan usaha baik pulih yang dijalankan diharap dapat memastikan ia kekal sebagai pusat ibadah serta pengajian agama untuk generasi akan datang,” katanya.
Mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan atau infaq melalui akaun Bank Islam 03018010067089 atas nama Masjid Mahmudi Melor.
-- BERNAMA