Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 31 Mac (Bernama) -- Sambutan Aidilfitri dalam kalangan umat Islam di Kemboja tahun ini membawa makna yang mendalam.
Sebagai penutup bulan suci Ramadan, perayaan itu bukan sahaja mencerminkan kegembiraan dan rasa syukur, malah turut menonjolkan pengiktirafan yang semakin meningkat terhadap komuniti Muslim di negara itu, yang dianggarkan berjumlah 300,000 orang.
Kerajaan Kemboja kini giat memperkukuh kepelbagaian dan menghormati amalan beragama, mewujudkan suasana yang kondusif bagi keharmonian antara penganut pelbagai kepercayaan, meskipun negara itu majoritinya beragama Buddha.
Pengiktirafan terhadap Islam bukan sekadar isyarat politik, sebaliknya ia mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh keterangkuman dan penghormatan terhadap kepelbagaian budaya.
Penasihat Kementerian Agama dan Kepercayaan Kemboja, Dr Hosen Mohamad Farid, berkata toleransi beragama terus berkembang di negara itu, ketika masyarakat Muslim hidup harmoni bersama penganut Buddha.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan memberi keutamaan kepada kebajikan komuniti Muslim. Walaupun kami golongan minoriti, kami menikmati banyak keistimewaan.
“Hari ini, kerajaan mengiktiraf kami sebagai Khmer Islam (Muslim). Kerajaan membina sekolah dan masjid serta membenarkan anak-anak kami bertudung di sekolah, malah pemakaian tudung dibenarkan dalam gambar pasport,” katanya kepada Bernama.
Dr Hosen, yang juga Presiden Universiti Pengurusan dan Teknologi Kemboja (CUMT), berkata universiti itu adalah institusi Islam pertama di negara itu dengan sekitar 300 pelajar kini melanjutkan pengajian tinggi di sana.
Umat Islam di Kemboja menyambut Aidilfitri secara meluas, baik di bandar mahupun di luar bandar, dengan mengekalkan kepelbagaian budaya dan agama yang telah diwarisi sejak sekian lama.
Pada 24 Mac lalu, Perdana Menteri Hun Manet menganjurkan majlis iftar untuk 6,000 orang di ibu negara, yang kini menjadi acara tahunan dalam kalendar rasmi kerajaan dan dihadiri oleh masyarakat pelbagai lapisan.
Majlis berbuka puasa turut diadakan di wilayah lain oleh pemimpin Buddha dan Muslim tempatan, memberi peluang kepada mereka untuk berinteraksi dengan komuniti Muslim, sekali gus mencerminkan keharmonian budaya serta kewujudan bersama secara aman.
Dalam majlis itu, Hun Manet mengumumkan rancangan bagi memperkukuh perpaduan umat Islam Kemboja.
“Para pemimpin Khmer-Muslim dan seluruh umat Islam digalakkan untuk terus menyokong dan mempercayai kepimpinan Kemboja, yang menjamin sepenuhnya hak kebebasan beragama bagi umat Islam di negara ini, dengan memperkukuh solidariti bersama penganut agama lain untuk mempromosikan keharmonian kaum dan agama,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Liga Muslim Sedunia, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata dari Kuala Lumpur bahawa Kemboja dan Malaysia adalah contoh masyarakat berbilang agama dan etnik yang hidup dalam aman damai
“Dunia sekular tidak seharusnya malu untuk mengikuti jejak Kemboja dalam menjaga kebajikan rakyat Muslimnya.
“Dalam masa yang sama, dunia Islam boleh melihat sendiri bagaimana Malaysia mengamalkan kebebasan beragama dan kewujudan bersama secara harmoni, meskipun Islam termaktub dalam Perlembagaan Malaysia sebagai Agama Persekutuan.
“Kami yakin Malaysia, bersama Kemboja dan dengan sokongan negara anggota ASEAN lain, dapat memimpin usaha meningkatkan keharmonian serta kemakmuran bersama di rantau ini. Banyak kawasan di dunia sudah tidak lagi selamat untuk manusia,” katanya, yang juga penasihat CUMT.
-- BERNAMA