JOHOR BAHRU, 28 Mac (Bernama) -- Sebanyak 639 tan metrik sisa pascabanjir telah dikutip dalam operasi pembersihan di daerah terjejas bencana itu di Johor, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Mohd Shukor.
Mohd Jafni berkata operasi di kawasan terjejas teruk seperti di Pontian, Batu Pahat, Kluang dan Johor Bahru telah mencapai 80 peratus setakat semalam dan dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh dua hari sebelum Aidilfitri.
Beliau berkata operasi pembersihan itu melibatkan lebih 1,000 petugas terdiri daripada pihak berkuasa tempatan, SWCorp, SWM Environment, Jabatan Kerja Raya, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia serta sukarelawan badan bukan kerajaan.
"Menjunjung titah Pemangku Sultan Johor (Tunku Mahkota Ismail), Alhamdulillah operasi pascabanjir di seluruh Johor kini telah mencapai 80 peratus kemajuan setakat semalam. Dengan izin Allah, dalam tempoh dua hari sebelum hari raya semua lokasi yang terjejas akan dapat diselesaikan sepenuhnya.
"Pagi ini, saya telah mempengerusikan mesyuarat Op Pasca-Banjir dengan arahan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi memastikan kebersihan dan keselamatan kawasan yang terjejas dapat dipulihkan dengan segera," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Jafni berkata 52 unit kenderaan berat termasuk jentera pengangkut, lori kompaktor, jentera pembersihan dan kenderaan utiliti digunakan bagi mempercepatkan proses pembersihan.
"Selain itu, bagi memastikan pengurusan sisa lebih lancar, beberapa Pusat Transit Sisa Pasca-Banjir telah diwujudkan di beberapa lokasi strategik seperti di Jalan Taruka, sebelum sisa dihantar ke tapak pelupusan utama. Ini dapat mempercepatkan pengurusan pembuangan dan mengurangkan kesesakan di kawasan terjejas.
"Pada masa sama, kerja-kerja pembersihan turut dilaksanakan di kawasan luar perbandaran rasmi seperti kawasan setinggan, terutamanya kawasan terjejas teruk, menerusi kolaborasi tanggungjawab sosial korporat oleh agensi dan syarikat swasta. Usaha ini jelas menunjukkan komitmen semua pihak dalam memastikan tiada kawasan tercicir daripada perhatian kerajaan," katanya.
Mohd Jafni berkata kerajaan negeri juga telah menubuhkan pasukan petugas khas bagi menilai semula aspek pembangunan terutama di kawasan setinggan dan sepanjang Sungai Skudai serta Sungai Tebrau, berikutan lebih 50 peratus daripada mangsa banjir kali ini dari kawasan tersebut.
"Pasukan petugas ini akan mengkaji semula aspek perancangan bandar, sistem perparitan dan saliran serta mencari penyelesaian jangka panjang bagi mengurangkan risiko bencana banjir pada masa hadapan," katanya.
-- BERNAMA