KUCHING, 28 Mac (Bernama) -- Persatuan Kayu-Kayan Sarawak (STA) meminta kerajaan negeri memberikan justifikasi mengenai caj sistem Pendekatan Transformasi Pekerja Asing (FWTA) yang tinggi.
Pengerusi STA Datuk Henry Lau Lee Kong berkata terdapat kebimbangan mengenai beban kewangan susulan pelaksanaan FWTA, yang menambah RM1,854 bagi setiap pekerja.
"Apabila digabungkan dengan kenaikan gaji minimum baru-baru ini kepada RM1,700 dan sumbangan wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang akan datang untuk pekerja asing, perniagaan kini menghadapi tekanan kewangan yang besar.
“Walaupun STA menyokong usaha penyelarasan, namun kami telah meminta penjelasan mengenai caj yang tinggi ini,” katanya dalam kenyataan selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) STA 2025 yang diadakan di sini hari ini.
Sistem FWTA mula berkuat kuasa pada 15 Jan 2025.
Timbalan Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Buruh, Imigresen, dan Pemantauan Projek) Sarawak Datuk Gerawat Gala pada pertengahan Januari dilaporkan berkata satu siri pertemuan telah diadakan dengan wakil industri sebelum keputusan kerajaan untuk melaksanakan sistem berkenaan.
Gerawat berkata sistem ini lebih efisien dan telus, terutamanya dalam pemprosesan permit kerja dan ia juga membantu dalam memusatkan data bagi semua pekerja bukan penduduk.
-- BERNAMA