Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 28 Mac (Bernama) -- Singapura sedang memantau rapat perkembangan di Myanmar dan Thailand susulan gempa bumi yang melanda negara itu, kata Perdana Menteri Lawrence Wong.
“Saya amat bersimpati dengan semua yang terjejas akibat bencana ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Wong, yang juga Menteri Kewangan menggesa rakyat Singapura di rantau ini agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
Beliau turut menasihatkan mereka supaya menghubungi kedutaan Singapura atau talian penting 24 jam Kementerian Luar Negeri untuk mendapatkan bantuan.
Gempa bumi dengan magnitud 7.7 melanda bahagian tengah Myanmar pada Jumaat, dengan gegaran turut dirasai di Thailand, China dan Laos.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara Myanmar telah mengisytiharkan darurat di kawasan terjejas gempa di enam negeri dan wilayah, menurut laporan media tempatan.
Thailand turut mengisytiharkan Bangkok sebagai kawasan darurat.
-- BERNAMA