KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Kumpulan Industri–Kerajaan Malaysia untuk Teknologi Tinggi (MIGHT) memperkukuh kepimpinan Malaysia dalam diplomasi sains pada Dialog Menteri Global UNESCO mengenai Diplomasi Sains yang berlangsung di Paris baru-baru ini.
Bertemakan Science Diplomacy in a Rapidly Changing World: Building Peace in the Minds of Men and Women, dialog itu menyaksikan MOSTI dan MIGHT bersama-sama membawa mesej kepentingan kerjasama antarabangsa, memacu pembangunan mampan dan pendekatan menyeluruh dalam menangani cabaran global.
Delegasi Malaysia diketuai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang manakala MIGHT diwakili Pengerusi Bersama (Kerajaan) Prof Emeritus Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Rushdi Abdul Rahim.
Chang turut mempengerusikan sesi meja bulat peringkat tinggi mengenai Science Diplomacy to Advance Secure and Open Science bersama Penolong Ketua Pengarah UNESCO bagi Sains Semula Jadi Lidia Arthur Brito.
Sesi itu merupakan sebahagian daripada Segmen Menteri Global 2025, platform penting dalam membentuk kerjasama strategik dan dialog antara pemimpin global dalam bidang sains dan dasar.
Dalam ucapan pembukaannya, Chang berkata cabaran yang dihadapi dunia masa ini tidak mengenal sempadan, justeru penyelesaiannya perlu bersifat kolaboratif.
"Diplomasi sains, penggunaan strategik sains dan teknologi dalam hubungan antarabangsa dan kerjasama global, kini lebih penting," katanya.
Perbincangan itu menghasilkan satu Kenyataan Menteri yang menekankan keperluan mendesak untuk mengukuhkan hubungan antara sains dengan diplomasi dan membuka potensinya dalam menangani cabaran kompleks hari ini.
Kenyataan itu turut mengulangi sokongan terhadap prinsip sains terbuka, keterangkuman dan penyertaan penuh dalam diplomasi sains demi manfaat semua.
Dalam sesi panel peringkat tinggi bertajuk New Science Diplomacy to Tackle the Challenges of the 21st Century, Dr Zakri menekankan bahawa pendekatan menyeluruh diperlukan yang melibatkan kerajaan, akademia dan pemimpin industri, dengan asas kepimpinan politik yang kukuh.
Beliau mengulangi komitmen MIGHT dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa dan mewujudkan platform baharu bagi dialog strategik dalam diplomasi sains.
Sebagai badan pemikir strategik dan pemain utama dalam landskap sains dan teknologi Malaysia, MIGHT menekankan kepentingan kerjasama serantau, perkongsian Selatan-Selatan, dan usaha meningkatkan daya saing global melalui diplomasi dalam isu kritikal, seperti perubahan iklim, kesihatan awam dan kemajuan teknologi.
Usaha diplomasi sains Malaysia dapat dilihat menerusi inisiatif pembangunan kapasiti serta kerjasama awam–swasta yang mengintegrasikan sains dengan diplomasi untuk memacu kemajuan global.
-- BERNAMA