DUNIA

MALAYSIA HANTAR PASUKAN NADMA BAGI BANTU USAHA BANTUAN GEMPA BUMI DI MYANMAR

29/03/2025 10:47 AM

PUTRAJAYA, 29 Mac (Bernama) -- Malaysia akan menghantar dua pasukan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) ke Myanmar bagi menyokong usaha bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana susulan gempa bumi yang melanda tengah Myanmar, utara Thailand dan sebahagian selatan China.  

Kementerian Luar dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan bahawa pasukan penilaian awal yang terdiri daripada 10 anggota NADMA akan berlepas ke Yangon hari ini bagi memberikan bantuan teknikal dan menjalankan penilaian keperluan di lokasi.  

Pasukan kedua melibatkan 40 anggota dijadualkan berlepas pada Ahad akan memberi tumpuan kepada kawasan keutamaan yang dikenal pasti dalam penilaian awal.

“Pasukan kedua yang lebih besar ini akan memberi tumpuan kepada kawasan keutamaan yang dikenal pasti dalam penilaian awal bagi memastikan bantuan Malaysia disalurkan secara tepat, relevan dan responsif terhadap keadaan semasa," menurut Kementerian Luar.

Kementerian Luar yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang menyelaras semua keperluan visa dan logistik bagi misi NADMA, dengan Kedutaan Besar Malaysia di Yangon akan memberi sokongan kepada operasi pasukan di Myanmar, termasuk penyelarasan bersama pihak berkuasa tempatan dan rakan kemanusiaan.

Dalam mesej yang dikongsikan pada 28 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita terhadap skala kemusnahan itu dan merakamkan ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga mereka. 

Beliau menegaskan solidariti Malaysia bersama negara-negara jiran ASEAN serta kesediaan negara untuk menyokong usaha bantuan dan pemulihan.

Kementerian itu turut mengesahkan komitmen teguh Malaysia terhadap kerjasama serantau dan menegaskan kesediaan negara untuk terus menyumbang secara bermakna kepada usaha bantuan kemanusiaan serta pengurusan bencana di seluruh ASEAN.  

“Dalam semangat tanggungjawab bersama, Malaysia berdiri teguh bersama semua komuniti yang terjejas dalam tempoh pemulihan dan daya tahan ini,” menurut Wisma Putra.  

Menurut Majlis Pentadbiran Negara Myanmar, sekurang-kurangnya 144 orang maut dan 732 cedera di Myanmar, termasuk 96 kematian di Nay Pyi Taw, 18 di Sagaing dan 30 di Kyaukse.  

Media antarabangsa melaporkan usaha menyelamat masih diteruskan susulan banyak bangunan mengalami kerosakan.

-- BERNAMA  

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan