AM

SK TEMONYONG LAKAR SEJARAH, HASIL VIDEO LESTARI PERINGKAT DUNIA

29/03/2025 11:27 AM

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Sekolah Kebangsaan (SK) Temonyong, Langkawi melakar  sejarah tersendiri apabila terpilih satu daripada tujuh sekolah di peringkat global untuk menghasilkan kandungan video bagi mempromosikan Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (ESD).

Guru penyelaras Gurpreet Kaur berkata video berdurasi lima minit itu akan memaparkan inisiatif kelestarian SK Temonyong sebagai sebahagian daripada program Eco-Schools yang dikendalikan oleh Green Growth Asia Foundation (GGAF) di Malaysia.

Beliau berkata video itu yang akan dihantar pada akhir bulan ini,  bakal dimuat naik di laman web rasmi Foundation for Environmental Education (FEE) yang juga rakan rasmi UNESCO dalam mempromosikan ESD  sekali gus bakal menjadi rujukan dan model bagi institusi lain di seluruh dunia.

“Kami berbesar hati menerima pengiktirafan ini kerana banyak sekolah di seluruh negara telah menghantar penyertaan namun SK Temonyong dipilih sebagai satu-satunya wakil dari Asia Tenggara. Pemilihan ini merupakan pengiktirafan terhadap komitmen sekolah dalam melaksanakan program ESD secara berkesan.

“Pengiktirafan ini sangat bermakna kerana kami berasal dari sebuah pulau kecil di utara Malaysia. Pihak FEE menghargai pendekatan kami dalam menghasilkan kandungan, kualiti rakaman serta kepelbagaian projek yang telah dijalankan di sekolah, membezakan kami daripada sekolah lain,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata kejayaan itu seiring dengan pencapaian SK Temonyong yang berjaya memenuhi tujuh langkah dalam Seven Step Framework Eco-Schools sehingga melayakkannya menerima pengiktirafan Anugerah Green Flag pada Disember 2024.

“Sepanjang tempoh ini, lebih 300 murid dari Tahun Tiga hingga Enam, guru, staf sokongan, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti setempat terlibat dalam pelaksanaan pelbagai projek bagi mengekalkan kehijauan persekitaran sekolah.

“Sebagai usaha berterusan dalam menerapkan kesedaran ekologi dan alam sekitar, kami menjalankan lima projek lestari utama iaitu penternakan lebah kelulut, laman padi mini, kompos sisa makanan, edible garden dan laman minda sihat serta terbaru membina sistem takungan air hujan,” katanya.

Gurpreet yang juga berperanan sebagai ketua perhubungan awam bagi program sekolah itu berkata penghasilan video itu bertujuan menjadi alat pemasaran untuk menerangkan tujuh langkah dalam program Green Flag, dengan SK Temonyong diberikan tanggungjawab utama merakam langkah ketujuh iaitu Kod Eko (Eco-Code).

“Kod Eko adalah antara elemen utama dalam program Eco-Schools di bawah FEE, komitmen visual dalam bentuk poster atau slogan bagi menggambarkan usaha sekolah dalam kelestarian alam sekitar.

“Oleh itu, kami memberi tumpuan kepada lukisan mural, logo, serta lagu bertajuk Pulau Ku Sayang ciptaan Izal Herman Jamaludin dalam bahasa Melayu sebagai satu peluang untuk mempamerkan bahasa dan budaya kita di peringkat global,” katanya.

Menerusi moto ‘Where Green Dreams Grow’, pihaknya berharap peranan sekolah bukan sekadar menyampaikan mesej, tetapi mengamalkan prinsip kelestarian dalam kehidupan seharian.

“Kesedaran murid tentang perubahan iklim bukan isu masa depan, tetapi sesuatu yang sedang berlaku dan memerlukan tindakan segera. Mereka lebih yakin untuk berkongsi pengetahuan, menjalankan lawatan tapak, serta berbincang mengenai perubahan iklim dengan rakan sebaya dan komuniti,” katanya kesedaran itu tidak terhad dalam bilik darjah sebaliknya meluas ke seluruh sekolah dan menjadikan mereka peka dan proaktif  menangani isu alam sekitar.

Guru Bahasa Inggeris itu berkata penglibatan murid dalam program antarabangsa juga telah membuka minda mereka kepada perspektif global sekali gus memberi inspirasi kepada mereka untuk bertindak sebelum terlambat.

“Budaya bersaing secara positif turut mendorong pelajar untuk terus mencari penyelesaian inovatif terhadap isu perubahan iklim.

"Oleh itu, kami berharap lebih banyak sekolah akan mengambil langkah serupa dalam inisiatif pendidikan kelestarian agar generasi masa depan lebih peka terhadap perubahan iklim dan usaha memelihara alam sekitar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan