AM

BERAS MELAKA AKAN MULA DIJUAL DI PASARAN PADA APRIL

29/03/2025 01:50 PM

JASIN, 29 Mac (Bernama) -- Penjualan Beras Melaka buat pertama kali akan diedarkan di pasaran di negeri ini dalam tempoh dua minggu lagi, dengan membabitkan kira-kira 3,000 kampit menerusi tanaman benih padi MR297 yang diusahakan sejak tahun lepas.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata Beras Melaka itu, dijual dengan harga RM26 sekampit 10 kilogram (kg) dan penjualannya akan dikendalikan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka.

“Penghasilan beras putih seberat 30 tan metrik ini, melibatkan kawasan tanaman sawah seluas 42 hektar di seluruh Melaka dengan menggunakan benih padi yang telah kita hasilkan sendiri.

“Kita sasarkan lebih banyak penjualan seterusnya pada Julai depan, dengan pengeluaran hasil padi sebanyak 200 hingga 300 tan metrik yang dituai dengan melibatkan kawasan sawah seluas 1,000 ekar,” katanya kepada pemberita ditemui pada Program Semarak Syawal peringkat negeri di Pasar Tani Merlimau di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka Nor Azhar Abdul Hamid.

Akmal berkata lebih membanggakan Melaka juga telah berupaya mengeluarkan benih padi sendiri untuk dijual kepada pesawah dengan harga RM58 dan setakat ini sebanyak 2,347 beg benih padi berjaya dihasilkan.

“Usaha ini juga dilihat sangat membantu pesawah untuk mendapatkan benih berkualiti dengan harga rendah dan boleh dibeli secara terus di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) tanpa melibatkan orang tengah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga telah mengenal pasti sistem pengeluaran padi dan beras yang lebih teratur, dengan menambah baik mekanisme pelaksanaannya bagi memastikan hasilnya dapat dinikmati rakyat di negeri ini.

“Sebelum ini padi yang dihasilkan dihantar ke negeri-negeri lain dan menyebabkan kita tidak dapat tahu jumlah kuantiti sebenar pengeluarannya, tetapi kali ini kita ada cara untuk susun aturnya supaya padi ini dapat hasilkan Beras Melaka untuk orang Melaka,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan