AM

SARA DIKREDITKAN HARI INI, PENERIMA SIFATKAN REZEKI SYAWAL

01/04/2025 06:13 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Peningkatan jumlah bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) hingga RM2,100 berbanding RM1,200 pada tahun lepas, dikreditkan kepada penerima yang layak hari ini disifatkan sebagai 'rezeki Syawal'.

Pada ketika umat Islam masih dalam 'mood’ meraikan Aidilfitri, seorang penerima warga emas daripada KELANTAN Rosli Abd Ghani, 64, menyifatkan bantuan yang dikreditkan pada hari kedua sambutan perayaan berkenaan bagaikan durian runtuh.

"Alhamdulillah, ini kali pertama saya terima bantuan SARA dan rezeki yang diperoleh ini sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan harian saya sekeluarga, termasuklah digunakan untuk musim perayaan Aidilfitri seperti membeli barangan keperluan harian dan biskut raya," katanya.

Sementara itu, di TERENGGANU penerima SARA Zakaria Awang, 49, berkata bantuan itu dapat meringankan bebanan kewangannya yang telah banyak mengeluarkan perbelanjaan sempena sambutan Aidilfitri.

Penerima SARA dari MELAKA, Raziah Ismail, 32 pula menganggap bantuan yang diterimanya pada bulan Syawal itu sebagai rezeki terpijak yang amat melegakannya dalam menguruskan perbelanjaan harian.

“Sebagai suri rumah dengan empat anak yang bersekolah, nilai RM200 itu amat besar untuk ringankan beban perbelanjaan harian seperti membeli minyak masak dan telur,” katanya.

Rata-rata penerima juga menyifatkan jumlah bantuan SARA yang meningkat sebanyak 75 peratus tahun ini berbanding 2024, amat membantu mereka menampung perbelanjaan harian serta kos persekolahan anak-anak.

Di PAHANG, Mohd Badrul Rizaman Jusoh, 42, berkata inisiatif SARA memberi manfaat besar bagi ketua keluarga sepertinya terutama dalam menampung perbelanjaan persekolahan empat anak berusia antara 7 hingga 16 tahun. 

“RM100 yang diterima juga akan digunakan untuk membeli minyak dan beras kerana itu keperluan utama keluarga kami yang mana setiap bulan hampir RM100 saya belanjakan untuk membeli barang asas berkenaan,” katanya.

Di PULAU PINANG, seorang penerima Mohd Hasbibollah Abdul, 48, berkata bantuan SARA diterimanya itu sedikit sebanyak meringankan beban apabila dapat membeli barang keperluan asas seperti beras, minyak masak dan tepung.

Suri rumah dari PERLIS, Robedah Nayan, 38, juga gembira dengan peningkatan bantuan kepada RM200 sebulan berbanding RM100 sebelum ini sekali gus meringankan kos perbelanjaan keluarga ditampung suaminya yang bekerja sebadai pemandu lori.

Di SARAWAK, Minjon Pawang, 67, yang menerima bantuan SARA sejak April tahun lepas berkata bantuan diterimanya itu sangat bermakna dalam membantu meringankan beban perbelanjaan diri sendiri sejak kematian suami pada 2022.

Penerima bantuan SARA di SABAH Frankey Geoffery,50, pula menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI yang sangat prihatin membantu rakyat, khususnya golongan memerlukan.

Kementerian Kewangan pada 26 Mac lepas mengumumkan peluasan pelaksanaan SARA kepada 5.4 juta penerima bermula 1 April meningkat hampir lapan kali ganda berbanding 700,000 penerima sedia ada.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata peluasan itu sebahagian daripada peningkatan peruntukan program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA kepada RM13 bilion pada tahun ini, jumlah tertinggi dalam sejarah penyaluran bantuan tunai kerajaan kepada rakyat.

Di bawah program SARA, penerima boleh membeli barangan keperluan asas terpilih dengan menggunakan MyKad di kedai-kedai runcit berdaftar yang kini berjumlah lebih 3,500 buah di seluruh negara, berbanding 700 buah pada 2024.

Selain makanan asas, kredit SARA juga boleh digunakan untuk membeli barangan kebersihan diri, ubat-ubatan serta peralatan persekolahan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan