AM

PENJAJA BELON BERTINDAK AGRESIF, TOLAK ANGGOTA PENGUAT KUASA - DBKL

29/03/2025 04:48 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Situasi tegang yang berlaku melibatkan seorang penjaja belon tidak berlesen dengan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di kawasan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), berikutan tindakan agresif individu itu terhadap pegawai bertugas.

DBKL dalam kenyataan hari ini menjelaskan ketika rondaan berkala dilakukan di lokasi itu, pasukan penguat kuasa mendapati kehadiran beberapa penjaja tanpa lesen yang menjalankan aktiviti perniagaan di laluan pejalan kaki Jalan TAR dan menghalang pergerakan orang ramai serta menyebabkan kesesakan.

“Seperti amalan biasa, DBKL akan memberikan teguran terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan diambil. Penjaja tanpa lesen lain telah memberikan kerjasama dan beredar dari kawasan tersebut.

“Namun begitu, seorang penjaja belon enggan mematuhi arahan dan terus berniaga seperti biasa walaupun sudah diberi teguran sebanyak dua kali. Ketika teguran ketiga diberikan, penjaja belon terbabit bertindak agresif dan berlaku sentuhan fizikal apabila dia menolak penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas,” menurut kenyataan itu.

Bagi mengelak keadaan menjadi lebih tegang dan menghalang kemungkinan insiden yang lebih serius, anggota penguat kuasa berpakaian preman bertindak pantas untuk menenangkan dan memisahkan penjaja terbabit daripada terus mengasari petugas penguat kuasa.

Menurut DBKL, situasi menjadi tegang apabila beberapa penjaja lain cuba campur tangan, namun keadaan berjaya dikawal dan ditenangkan tidak lama kemudian, selain tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Terdahulu, tular video menerusi pelbagai platfom media sosial memaparkan situasi tegang dan pergelutan antara seorang penjaja belon dengan anggota penguat kuasa DBKL yang berlaku di kawasan Jalan TAR malam tadi.

Dalam pada itu, DBKL memaklumkan satu laporan polis telah dibuat oleh penguat kuasa yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

Pihak berkuasa tempatan itu turut melaksanakan siasatan lanjut dan mengambil keterangan daripada semua anggota penguat kuasa yang terlibat dalam insiden itu.

“DBKL juga akan meneliti penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) dalam tindakan penguatkuasaan bagi memastikan sebarang perkara yang tidak diingini dapat dielak daripada berlaku.

“DBKL ingin menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan tanpa mengambil kira sebarang latar belakang kaum dan berdasarkan peraturan yang telah ditetapkan serta tidak mempunyai sebarang motif perkauman,” menurut kenyataan itu.

DBKL memaklumkan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjalankan perniagaan tanpa lesen sah serta mengganggu ketenteraman awam dan DBKL bertanggungjawab memastikan keselamatan, kelancaran pergerakan orang awam serta pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan.

Sehubungan dengan itu, DBKL turut memohon kerjasama semua pihak untuk menghentikan hebahan sentimen serta spekulasi negatif dan tidak bertanggungjawab yang boleh mengeruhkan keadaan selain turut menyeru agar peraturan yang ditetapkan dipatuhi.

“DBKL akan berusaha untuk terus memastikan keharmonian dan keselamatan awam sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata pihaknya telah menerima satu laporan daripada anggota penguat kuasa DBKL berhubung kejadian itu hari ini.

“Kita akan panggil yang terlibat untuk bagi keterangan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam semasa menjalankan tugas,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata pihaknya akan menjalankan siasatan dengan telus dan adil mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan, manakala tindakan akan diambil kepada mana-mana pihak yang melakukan kesalahan.

-- BERNAMA 

 

 

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan