DUNIA

USAHA MENYELAMAT DIPERGIAT WALAUPUN WUJUD HALANGAN BESAR SELEPAS GEMPA BUMI KUAT LANDA MYANMAR

29/03/2025 09:09 PM

MANDALAY, (Myanmar), 29 Mac (Bernama-Xinhua) – Usaha menyelamat di Myanmar terus dipergiat meskipun muncul halangan besar terhadap rangkaian pengangkutan dan komunikasi susulan gempa bumi kuat berukuran 7.7 magnitud yang melanda negara itu pada petang Jumaat, lapor Xinhua.

Gempa yang berpusat berhampiran Sagaing itu mencetuskan 12 gempa susulan dengan magnitud antara 2.8 hingga 7.5, memburukkan lagi keadaan di kawasan terjejas.

Kemusnahan dilaporkan meluas dengan Mandalay, Bago, Magway, timur laut Shan, Sagaing dan Nay Pyi Taw antara kawasan paling teruk terjejas.

Kerajaan Myanmar telah mengisytiharkan darurat di peringkat nasional ketika pasukan penyelamat berusaha membantu mangsa yang terjejas.

Laluan pengangkutan penting, Lebuh Raya Yangon-Mandalay, mengalami kerosakan teruk berhampiran Nay Pyi Taw dan Mandalay, menyukarkan operasi penghantaran bantuan.

Orang ramai terpaksa menggunakan jalan lama Yangon-Mandalay untuk menuju ke kawasan bencana bagi membantu usaha menyelamat. Selain itu, runtuhan bangunan di Lapangan Terbang Mandalay serta beberapa bahagian lebuh raya turut mengganggu perjalanan antara Yangon dan Mandalay, dua bandar terbesar di Myanmar.

Pasukan penyelamat, termasuk anggota perkhidmatan bomba dari  bahagian selatan Myanmar, telah tiba di kawasan paling teruk terjejas seperti Nay Pyi Taw dan Mandalay. Bagaimanapun, infrastruktur yang rosak, gangguan bekalan elektrik serta perkhidmatan telefon dan internet menyulitkan usaha bantuan.

Bantuan antarabangsa telah mula tiba, dengan sebuah pasukan penyelamat dari China mendarat di Yangon pada pagi Sabtu bagi menyokong tindak balas kecemasan Myanmar serta menyalurkan bantuan kepada komuniti terjejas.

Ketika pihak berkuasa dan pasukan penyelamat bertungkus lumus membantu mangsa bencana, Myanmar berdepan tugas berat untuk pulih daripada  satu gempa bumi, antara yang paling kuat dalam sejarahnya. Dengan infrastruktur kritikal rosak serta gangguan terhadap perkhidmatan penting, usaha bantuan yang diselaraskan amat diperlukan bagi membantu mangsa membina semula kehidupan mereka.

Pemimpin Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing telah merayu bantuan kemanusiaan daripada masyarakat tempatan dan antarabangsa. Pada pagi Sabtu, beliau tiba di Mandalay bagi menyelaras operasi menyelamat.

Setakat pagi Sabtu, seramai 1,002 orang terkorban, 2,376 cedera dan 30 lagi masih hilang, menurut Pasukan Penerangan Majlis Pentadbiran Negara Myanmar.

BERNAMA-XINHUA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan