SUKAN

VICTOR TETAP PUAS HATI DENGAN PERSEMBAHAN PEMAIN KDA FC

30/03/2025 10:48 AM

ALOR SETAR, 30 Mac (Bernama) -- Walaupun satu gol terhasil, Ketua Jurulatih Interim Kedah Darul Aman (KDA FC) Victor Andrag berpuas hati dengan prestasi dipamerkan anak buahnya di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Beliau berkata dengan kekurangan pada pasukan, satu gol itu telah menyuntik semangat juang pemain muda untuk mencipta peluang terbaik meskipun berdepan pasukan hebat Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Tentunya saya gembira dengan satu gol tu, kerana bukan mudah untuk dapat gol malam ini tapi mereka boleh melakukan dan beberapa peluang lagi. Tapi itu membezakan pengalaman kita dengan JDT,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan malam tadi.

Pada masa sama, Victor amat menghargai komitmen pemain khususnya pemain muda yang turun beraksi dan memberikan yang terbaik walaupun KDA FC berdepan pelbagai masalah.

“Saya dah bagi peluang kepada pemain muda dan mereka bermain dengan baik. Bagi saya tak kira budak muda, senior ka...siapa ada karektor kita boleh nampak,” katanya.

Dalam perlawanan malam tadi, Kedah tewas 6-1 kepada JDT dalam perlawanan yang disaksikan lebih 1,000 penyokong kedua-dua pasukan.

Bergson da Silva menghasilkan hatrik buat JDT pada minit ke16, 22 dan 90 manakala Romel Morales (minit ke-17), Jordi Amat Mass (‘60) dan Muhammad Nazmi Faiz (‘82).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan