PUTRAJAYA, 1 April (Bernama) --- Pejabat Menteri Perpaduan Negara telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung kenyataan berunsur rasis dan provokatif yang dimuat naik oleh seorang individu di platform X.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Dagang berkata pihaknya berharap individu berkenaan disiasat dan diambil tindakan sewajarnya mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kementerian Perpaduan Negara komited memastikan keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia terus terpelihara. Oleh itu, sebarang bentuk kenyataan atau tindakan yang boleh menggugat perpaduan dan menyemarakkan kebencian tidak boleh diterima sama sekali.
“Saya ingin mengingatkan semua pihak agar lebih beretika dalam penggunaan media sosial serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama,” katanya menerusi satu hantaran di platform X beliau.
Aaron turut menyeru semua pihak untuk bersama-sama menolak sebarang bentuk ekstremisme, provokasi dan fitnah yang boleh menjejaskan keamanan negara.
Terdahulu, tular dua ciapan seorang pengguna X, @AmirRidhwann, bertarikh 5 Mac dan 26 Mac yang berunsur provokatif dan rasis terhadap masyarakat India.
Namun, semakan terkini mendapati hantaran itu telah dipadam.
-- BERNAMA