Oleh Razif Rosli
PARIT, 31 Mac (Bernama) -- Perak muncul sebagai negeri pengeluar utama jagung manis negara sejak dua tahun lepas dengan pengeluaran 17,716 tan metrik pada 2023, kata Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perak Norsiyenti Othman.
Beliau berkata daerah Kinta merupakan pengeluar tertinggi dengan 7,056.87 tan metrik melibatkan keluasan 700.18 hektar, diikuti Kampar 7535.84 tan metrik (584.17 hektar) dan Kuala Kangsar 153.96 hektar dengan pengeluaran 1416.61 tan metrik.
"Sejak 2012 Perak merupakan antara pengeluar utama jagung manis, dan pada tahun 2023 serta 2024 Perak berjaya menjadi negeri pertama pengeluar jagung manis diikuti Johor dan Sarawak dengan sebahagian besar hasil dihantar ke Cameron Highlands, Terengganu, Kelantan dan sekitar Lembah Klang," katanya kepada Bernama.
Norsiyenti berkata Perak memberi tumpuan kepada tanaman jagung manis di bawah program Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Titi Gantong di sini yang berkeluasan 111.6 hektar sejak 2004 dengan pengeluaran 1,001.63 tan metrik dan nilai hasil RM1.8 juta.
Beliau berkata terdapat 13 peserta atau pengusaha industri asas tani di TKPM Titi Gantong, malah ada juga dalam kalangan mereka turut mengusahakan tanaman lain seperti sayuran dan tembikai susu dengan purata pendapatan bulanan sekitar RM5,132.
Norsiyenti berkata industri tanaman jagung manis dijangka berkembang lebih jauh dengan memanfaatkan pembangunan produk hiliran tanaman berkenaan menerusi kajian pembangunan dan penyelidikan (R&D) yang seterusnya dapat mewujudkan peluang pekerjaan khususnya kepada belia.
Sementara itu Pengurus TKPM Titi Gantong Muhammad Hazim Zainal berkata TKPM Titi Gantong memperuntukkan kawasan seluas 80 hektar khusus untuk tanaman jagung manis sebagai komponen utama selain serai, labu, tembikai susu dan sayur-sayuran lain.
"Setiap peserta perlu memohon kepada Jabatan Pertanian Perak dan mereka diberikan tanah dengan keluasan berbeza untuk diusahakan dengan kadar sewa RM150 untuk setiap hektar setiap bulan.
"Ketika ini pengeluaran jagung manis di sini dijalankan secara berjadual supaya boleh memenuhi kehendak pasaran dan penuaian, biasanya setiap minggu dalam dua hingga tiga hektar," katanya sambil menambah jagung manis yang ditanam di TKPM kebiasaannya jenis hibrid bagi mendapatkan kualiti terbaik.
Seorang peserta TKPM Titi Gantong, Mohd Naufall Mustafa, 44, yang mengusahakan tanaman jagung manis sejak 2007 di atas tanah seluas enam hektar menggunakan pelbagai varisi benih bermutu antaranya GWG G907, GE 1603 dan 1606 bagi mengelak jangkitan penyakit seterusnya mendapatkan hasil berkualiti.
"Satu hektar tanah boleh ditanam lebih 15,000 pokok jagung membabitkan 10 beg benih jagung (5 kilogram) di atas 100 batas dan penanaman jagung manis adalah selama tiga musim dalam setahun dengan setiap musim memerlukan 70 hingga 75 hari.
"Kebiasaan kami akan mendapatkan lebih kurang 21,000 tongkol jagung pada setiap kali musim tuaian sebelum menjualnya secara borong kira-kira 140 tongkol seguni pada harga RM75, itu harga untuk jagung manis yang dicampur tiga gred berdasarkan saiz," katanya.
Mohd Naufall menjelaskan selepas hari ke 45 benih jagung ditabur, bunga akan mula mengembang dengan tempoh pendebungaan sekitar 8 hingga 10 pagi bergantung kepada keadaan cuaca.
"Jagung memerlukan cuaca panas tapi kalau terlalu panas tidak boleh juga kerana akan beri kesan kepada mutu tanaman jagung, gred A beratnya sekitar 350 gram keatas, gred B bawah 350 ke 300 gram manakala gred C di bawah 300 gram," katanya.
-- BERNAMA