Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 1 April (Bernama) -- Lima negara dalam Kumpulan Siap Siaga Tentera ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana telah segera menghantar pesawat tentera ke Myanmar susulan gempa bumi kuat yang melanda negara itu pada 28 Mac.
Beberapa pesawat Hercules, termasuk A400M dari Malaysia, telah dikerahkan selepas menerima permintaan daripada Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan bagi Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre) yang berpangkalan di Jakarta.
Wakil Pertahanan ASEAN ke AHA Centre, Brig Jen Azrin Iskandar Zulkaply berkata: “Pesawat ini dikerah tanpa berlengah untuk memastikan bantuan dapat diberikan kepada Myanmar secepat mungkin.”
Pasukan pertama dari Singapura dan Thailand tiba pada 29 Mac, diikuti Malaysia dan Vietnam pada 30 Mac, manakala Indonesia menyertai usaha itu pada Isnin untuk menghantar anggota, peralatan serta bekalan bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR), bantuan perubatan dan usaha bantuan lain kepada mangsa yang terjejas.
Sementara itu, Brunei menghantar tiga anggota Pasukan Respons dan Penilaian Kecemasan ASEAN (ERAT) yang tiba di Myanmar pada Isnin bagi menyokong operasi penyelarasan dan penilaian yang sedang berlangsung.
Laos juga akan menghantar Pasukan Perubatan Kecemasan (EMT) dan unit SAR untuk membantu usaha bantuan dan pemulihan, kata Azrin yang juga Atase Pertahanan Malaysia di Jakarta.
Beliau menyifatkan usaha bersepadu negara ASEAN sebagai kritikal, sambil menekankan bahawa “respons daripada negara yang terlibat sangat pantas bagi memastikan bantuan sampai kepada rakyat Myanmar tanpa berlengah.”
Beliau berkata keutamaan tertinggi ketika ini ialah penghantaran pasukan Mencari dan Menyelamat Bandar (USAR) bagi mencari serta membantu mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan, selain menyampaikan bekalan perubatan, makanan, air dan tempat perlindungan yang amat diperlukan.
Bantuan yang dihantar dipunggah di Nay Pyi Taw, ibu negara Myanmar, seperti yang ditetapkan oleh kerajaan negara itu.
“Kami sedang menyelaraskan usaha untuk menggerakkan bekalan daripada Depot Tindak Balas Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRD) di Subang, Malaysia dan gudang satelit di Chainat, Thailand, bagi memastikan pengagihan yang pantas serta berkesan,” kata Azrin.
Kumpulan Siap Siaga Tentera ASEAN akan terus memantau perkembangan di Myanmar dan bersedia untuk misi lanjut berdasarkan permintaan AHA Centre, yang menyelaraskan usaha bantuan termasuk bantuan tambahan yang dirancang.
“Komitmen kami untuk membantu rakyat Myanmar tidak berbelah bahagi. Kami bersedia untuk fasa seterusnya dalam penghantaran bantuan dan akan terus bekerjasama bagi menyediakan sokongan yang diperlukan sehingga negara itu memulakan pemulihan,” katanya.
Azrin turut menyampaikan ucapan takziah kepada rakyat Myanmar serta melahirkan rasa simpati mendalam terhadap kehilangan nyawa dan kemusnahan akibat gempa bumi itu.
Gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter yang melanda berhampiran Sagaing, Myanmar, sekitar 12.50 tengah hari waktu tempatan, Jumaat lepas setakat ini telah meragut lebih 2,900 nyawa, dengan kira-kira 4,000 orang dilaporkan cedera serta sekurang-kurangnya 270 lagi hilang.
Pada Jumaat, AHA Centre telah menaikkan tahap amaran Pusat Operasi Kecemasannya kepada “MERAH”, menandakan situasi kritikal yang memerlukan perhatian segera.
Kerajaan Myanmar mengeluarkan permintaan rasmi bagi bantuan antarabangsa melalui sepucuk surat kepada Setiausaha Agung ASEAN, memohon mobilisasi sumber untuk menyokong usaha menyelamat, bantuan dan pemulihan di kawasan yang terjejas.
-- BERNAMA