DUNIA

NIAGA HADAPAN MSM DITUTUP RENDAH

04/04/2025 10:15 PM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah berikutan penjualan besar-besaran komoditi secara global turut menjejaskan pasaran minyak sawit, kata peniaga minyak sawit David Ng.

Beliau berkata harga minyak mentah dan minyak soya yang rendah turut menekan sentimen pasaran secara negatif.

“Kami mengesan paras sokongan pada RM4,200 dan paras rintangan pada RM4,500 satu tan,” kata Ng  kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak April 2025 susut RM109 kepada RM4,702 setiap tan, Mei 2024 turun RM143 kepada RM4,474 setiap tan, dan Jun 2025 merosot RM161 kepada RM4,328 setiap tan.

Kontrak Julai 2025 susut RM153 kepada RM4,230 setiap tan, Ogos 2025 turun RM139 kepada RM4,163 setiap tan, dan September 2025 merosot RM128 kepada RM4,124 setiap tan.

Jumlah dagangan melonjak kepada 90,621 lot daripada 65,131 lot pada Khamis, manakala kepentingan terbuka turun kepada 254,177 kontrak daripada  256,811 kontrak semalam.

Harga MSM fizikal bagi April Selatan susut RM70 kepada RM4,780 setiap tan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan