SUKAN

PERAK KEJUTKAN KL CITY, CURI TIGA MATA DI CHERAS

06/04/2025 08:49 PM

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) --Perak FC mempamerkan kebangkitan dramatik apabila mengejutkan Kuala Lumpur (KL) City FC 2-1 dalam aksi Liga Super 2024/2025 yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, hari ini.

KL City terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi kapten pasukan, Paulo Josue, pada minit ke-31.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad Bos Gaurus terus berusaha mencari ruang untuk menyamakan kedudukan pada babak pertama perlawanan yang berlangsung dalam keadaan hujan.

Memasuki babak kedua, anak buah Yusri Che Lah dilihat lebih terdesak memburu gol penyamaan menerusi beberapa percubaan berbahaya ke arah pintu gol lawan, sebelum dihadiahkan sepakan penalti yang berjaya disempurnakan Luciano Guaycochea pada minit ke-77.

Azfar Fikri Azhar kemudian muncul wira Perak FC apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-81, sekali gus membantu pasukannya mengumpul 27 mata dan berada di kedudukan ketujuh selepas 22 perlawanan.

KL City pula kekal di tangga keenam dengan 28 mata.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan