KUANTAN, 6 April (Bernama) -- Seorang remaja lelaki ditemukan lemas selepas tergelincir ketika bergambar di air terjun Lata Jarum, Ulu Dong, Raub petang tadi.
Penguasa Kanan Bomba I Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Salahuddin Isa berkata Muhammad Shahrul Ikwan Adam Hareez Islami, 18, sebelum itu berkunjung ke kawasan air terjun itu bersama dua rakannya untuk berkelah.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian pada 4.10 petang sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat Raub digegaskan ke lokasi kejadian.
“Mangsa adalah penduduk kampung di sekitar kawasan air terjun itu. Dia hanya datang untuk berkelah bersama rakan dan tidak mandi. Mangsa bagaimanapun tergelincir ke dalam air terjun semasa hendak bergambar dengan berlatarbelakangkan pemandangan di situ.
“Yang mengambil gambar ialah rakannya dan mangsa berjaya dijumpai pasukan bomba dengan bantuan orang awam kira-kira 5.42 petang pada kedalaman kira-kira 3.04 meter, di lokasi dia dilaporkan tergelincir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Salahuddin berkata operasi membawa naik mangsa dengan menggunakan pengusung dan tali menyelamat berdepan kesukaran berikutan arus deras.
Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
-- BERNAMA