TAIPING, 7 April (Bernama) -- Abang kepada seorang daripada mangsa yang maut akibat lemas dalam lubang pembetung di Kampung Ibol, Sumpitan dekat Lenggong berkata adiknya sempat bergambar kenangan bersama kesemua ahli keluarga buat kali terakhir pada hujung minggu lepas.
Rifaai Adzraai, 38, berkata gambar kenangan itu dirakamkan di sebuah studio sempena Aidilfitri dan kali ini adiknya Allahyarham Mohd Fakhrurazi Adzraai, 37, setuju untuk turut serta dalam sesi fotografi itu tanpa membantah.
Dia berkata adiknya yang juga anak ketiga daripada enam beradik itu seorang yang pendiam dan kebiasaannya enggan turut serta.
"Memang sebelum ini kami tidak pernah ke studio bagi merakamkan gambar sempena hari raya, jadi tahun ini kami adik-beradik berpakat nak bawa ibu ke studio merakamkan gambar kenangan.
"Lebih bermakna lagi tahun ini kami memilih untuk pakai baju raya sedondon warna 'olive gold' malah sepanjang sesi fotografi adik saya amat ceria dan gembira cumanya saya tidak sangka ia adalah yang pertama dan terakhir buat adik saya," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Taiping di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd Fakhrurazi dan Mohd Suhaimi Che Norallasahlilaputera, 29, serta seorang warga Indonesia lemas dalam lubang pembetung ketika menjalankan kerja-kerja pembersihan di tapak pembinaan sebuah resort di Kampung Ibol, Sumpitan dekat Lenggong.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata dua lelaki tempatan itu disahkan maut di lokasi kejadian manakala lelaki warga Indonesia berkenaan meninggal dunia di Hospital Gerik.
Kedua-dua jenazah akan dibawa pulang ke kampung mereka dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sumpitan, Lenggong petang ini, selepas selesai proses bedah siasat.
Dalam pada itu, kakak kepada arwah Mohd Suhaimi, Nor Zaini, 39, berkata arwah adiknya begitu teruja menyediakan segala persiapan sempena Aidilfitri dan banyak mengambil video serta gambar.
"Memang arwah adik seorang yang ringan tulang kerana setiap tahun dia bersemangat untuk masak lemang yang sememangnya dinanti-nantikan kami sekeluarga.
"Lemang pada tahun ini lemang terakhir arwah dan selepas ini pasti kami akan merindui air tangan adik kami," katanya sambil menambah adiknya meninggalkan seorang isteri dan seorang cahaya mata berusia dua tahun.
-- BERNAMA