JENAYAH & MAHKAMAH

MANGSA BANJIR DI JOHOR TERUS MENINGKAT

07/04/2025 10:54 AM

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Situasi banjir di Johor terus menyaksikan peningkatan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) manakala di Sabah kekal seperti sebelumnya setakat pagi ini.

Di JOHOR, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan daerah Batu Pahat mencatatkan peningkatan jumlah mangsa kepada 326 orang daripada 108 keluarga setakat 8 pagi berbanding 285 daripada 94 keluarga pada 4 petang semalam.

Beliau berkata kesemua mangsa yang terdiri penduduk Kampung Baharu Sri Gading itu ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gading.

“Paras air Sungai Senggarang di Batu Pahat kini berada pada tahap amaran iaitu 3.35 meter manakala Sungai Batu Pahat mencatatkan bacaan 2.30 meter iaitu pada paras waspada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beberapa daerah turut dilaporkan hujan pagi ini, termasuk Muar, Segamat, Kluang, Batu Pahat, Tangkak dan Kulai manakala cuaca mendung di Johor Bahru, Mersing, Pontian dan Kota Tinggi. 

Sementara itu, di SABAH, jumlah mangsa banjir di daerah Kinabatangan yang berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Garam kekal 138 orang daripada 30 keluarga pagi ini sejak malam tadi.

Sekretariat JPBN Sabah dalam kenyataan memaklumkan empat kampung terjejas akibat bencana itu.

Pada 2 April, Kinabatangan yang terletak kira-kira 306 kilometer timur dari Kota Kinabalu diisytihar sebagai kawasan bencana banjir susulan hujan berterusan dan kenaikan paras air sungai pada tahap bahaya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan