KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Sempena sambutan Earth Month pada April ini, Watsons Malaysia telah melancarkan Pop-Up Cafe Naturals by Watsons, satu inisiatif yang bertujuan mempromosikan kecantikan lestari dan gaya hidup mesra alam.
Diadakan dari 25 Mac hingga 28 April di luar Fahrenheit 88, Bukit Bintang, pop-up cafe berkenaan menawarkan pengalaman unik kepada pelanggan menerusi bengkel pendidikan, stesen pengisian semula, promosi eksklusif, serta aktiviti yang fokus kepada kelestarian.
Pengarah Urusan Watsons Malaysia dan Ketua Pegawai Operasi Kesihatan & Kecantikan Asia, AS Watson Group Caryn Loh berkata tahun ini pihaknya teruja untuk melancarkan semula rangkaian Naturals by Watsons dengan produk baharu dan lebih baik yang komited terhadap aspek kelestarian, merangkumi 12 produk daripada penjagaan badan hingga penjagaan rambut.
“Sebagai sebahagian daripada pelancaran semula ini, kami memperkenalkan Pop-Up Cafe Naturals by Watsons, satu pengalaman gaya hidup imersif yang lebih daripada sekadar peruncitan. Kafe ini menawarkan ruang untuk pelanggan berinteraksi, belajar, dan membeli sambil menghayati nilai teras kami iaitu kesihatan, kecantikan, dan kelestarian,” katanya.
Rangkaian baharu Naturals by Watsons adalah 100 peratus daripada tumbuh-tumbuhan, diuji secara dermatologi, dan diformulasikan dengan lebih 95 peratus bahan asli semula jadi. Pembungkusan produk pula diperbuat daripada 100 peratus plastik kitar semula yang berisiko mengalir ke laut dan produk terpilih mengandungi 60 peratus minyak sawit yang diperakui kelestariannya.
Bagi menggalakkan lagi amalan hijau, kafe itu turut menyediakan stesen pengisian semula untuk produk seperti Gel Mandian Aloe dan Syampu Kopi, serta bengkel hujung minggu bagi kraf kitar semula seperti batu beraroma dan cincin kayu daripada seni ikatan ‘macrame. Pelanggan yang membelanjakan RM30 ke atas dalam satu resit di kafe tersebut boleh menyertai aktiviti ini.
Pembeli juga berpeluang menikmati promosi di semua kedai Watsons, termasuk potongan harga 20 peratus, syampu saiz perjalanan 100ml percuma dengan berbelanja minimum RM80, dan beg guni bersama dua syampu saiz perjalanan bagi pembelian RM150 dan ke atas.
Aktiviti mesra alam di kafe tersebut termasuk berkongsi hantaran di media sosial bagi mendapatkan rantai kunci kayu bertulis secara percuma, menukar botol PET kosong dengan gel mandian lavender 100ml, dan singgah di Scent Bar untuk mendapatkan kad pelapik beraroma percuma, dengan semua penebusan tertakluk kepada siapa cepat dia dapat pada setiap hari.
Inisiatif yang disokong oleh Persatuan Pengurusan Sisa Malaysia (WMAM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan HARA Makers dan pelajar universiti itu, turut menampilkan mural kelestarian dan arca produk gergasi yang diperbuat daripada botol Naturals by Watsons yang dikitar semula dan beg plastik sekali guna Watsons.
Dalam pada itu, Caryn berkata sebagai sebahagian daripada matlamat kelestarian jangka panjang, Watsons Malaysia komited untuk melaksanakan pembungkusan 100 peratus lestari bagi semua produk jenama Watsons dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Inisiatif ini seiring dengan misi kelestarian global Watsons dan diperkukuhkan lagi dengan kerjasama bersama ClimatePartner untuk mengurangkan pelepasan karbon secara aktif dan menggalakkan amalan runcit yang lebih mesra alam,” katanya.
Majlis pelancaran inisiatif itu turut dihadiri pengurusan tertinggi Watsons Malaysia, wakil daripada WMAM dan HARA Makers, wakil serantau dari Hong Kong, Thailand, dan Filipina, bersama Duta Watsons Ayda Jebat, serta rakan selebriti lain.
Watsons Malaysia telah memacu penawaran produk lestari sejak lebih 14 tahun lepas di sembilan pasaran utamanya dan jenama tersebut meraih pengiktirafan dengan merangkul anugerah kecemerlangan bagi Best All Green Brand di Global Green Beauty Awards pada 2024.
Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh layari platform sosial media rasmi Watsons Malaysia.
-- BERNAMA