Oleh CW Sim
KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Apabila Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan tarif timbal balas ke atas Malaysia pada 2 April, 2025, ia terbukti hanya menyemarakkan kebimbangan di serata Asia Tenggara.
Namun di Kuala Lumpur, gelombang awal ini hanya mengiyakan sangkaan selama ini -- ini bukanlah ribut yang hadir secara mengejut.
Sebahagian besar daripada impak itu sudah dijangkakan dan ditangani menerusi langkah pempelbagaian jangka panjang, kerjasama strategik serta dasar yang berpandangan jauh.
Lebih 67 peratus daripada eksport Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) merupakan komponen berteknologi tinggi, terutama semikonduktor dan elektronik. Mujurlah sebahagian besar daripada produk-produk ini dikecualikan daripada jadual tarif terkini berkenaan.
Ketika negara-negara jiran ASEAN dikenakan kadar tarif lebih tinggi -- Vietnam pada 46 peratus manakala Thailand 36 peratus, Malaysia sebaliknya pada kadar lebih rendah iaitu 24 peratus dan ditangani dengan strategi proaktif yang ternyata membantu mengurangkan impak sistemik.
Ringgit kekal stabil, pasaran kewangan terus bertahan manakala output pembuatan dilaras tanpa panik.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pula bertindak segera memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan.
Beliau turut menegaskan asas-asas ekonomi Malaysia kekal kukuh, disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang teguh, pelaburan kukuh domestik selain aliran pendapatan pelancongan yang baik.
“Asas ekonomi kita yang kukuh ini akan membolehkan Malaysia mengharungi cabaran ini dari sudut kedudukan yang teguh,” kata beliau.
Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan juga menegaskan Malaysia tidak akan melaksanakan tarif balas ke atas AS dan sebaliknya memilih jalan daya tahan yang tenang serta strategik.
Keyakinan ini bukan berasaskan slogan semata-mata sebaliknya berakar umbi daripada pandangan jauh secara senyap. Menjelang 2024, Malaysia telah meluaskan geografi perdagangannya dengan eksport ke Afrika, negara-negara Teluk dan Asia Selatan mencecah paras tertinggi dalam sejarah.
Rundingan perdagangan bebas dengan Majlis Kerjasama Teluk, Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA) dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan kerjasama dengan Kesatuan Eropah (EU) dan Korea Selatan telah menandakan peralihan tegas ke arah diplomasi ekonomi yang berbilang vektor.
Malaysia bukannya mengelak impak itu, namun menyerap kejutan berkaitan dengan bersandarkan kematangan strukturnya.
Bagaimanapun, ini bukanlah sekadar menjadi tempoh untuk bertahan sebaliknya memberi kesempatan untuk melakukan perancangan.
Selaku pengerusi ASEAN 2025, Malaysia tidak lagi hanya menyerap tekanan luar; tetapi mengetengahkan seni bina global baharu.
Seruan Perdana Menteri Anwar yang mengusulkan "dialog peradaban" sebelum ini, kini semakin mendapat perhatian arena geopolitik.
Menjelang akhir bulan ini, Presiden China Xi Jinping akan tiba di Kuala Lumpur untuk meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China. Lawatan itu juga dijangka mempercepatkan penciptaan rangka kerja institusi baharu untuk kerjasama peradaban.
Rangka kerja ini sejajar dengan Inisiatif Peradaban Global China dan visi "Madani" Malaysia mengenai tadbir urus yang inklusif dan berlandaskan nilai. Ia menandakan satu evolusi iaitu daripada ekonomi dua hala kepada pembinaan institusi bersama.
Malaysia kini muncul sebagai negara platform peradaban yang menggabungkan tradisi budaya Islam, Konfusianisme dan Barat.
Visi ini disokong oleh kerjasama yang praktikal. Usaha sama dalam bidang bioteknologi halal, pemisahan nadir bumi, elektronik hijau dan biosekuriti juga sedang dibincangkan.
Hampir 25 peratus perdagangan dua hala kini dilaksanakan dalam ringgit dan renminbi ketika perbincangan mengenai sandbox mata wang rentas sempadan sedang dijalankan.
Infrastruktur kewangan Islam Malaysia berpotensi menjadi asas untuk Koridor Amanah Kewangan Global Selatan yang menghubungkan ASEAN, negara Teluk dan Afrika.
Di peringkat serantau, Malaysia sedang menggiatkan semula kepentingan strategik ASEAN. Selain Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Malaysia turut memimpin dalam ASEAN+3, perjanjian perdagangan bebas (FTA) ASEAN-China (2010), FTA ASEAN-India, trek perundingan ASEAN-EU dan pembentukan FTA ASEAN (1997).
Visi ekonomi serantau 2045 kini memerlukan bukan sahaja liberalisasi perdagangan tetapi juga pembaharuan institusi untuk transformasi digital, peralihan hijau dan keselamatan kewangan serantau.
Malaysia tetap teguh dengan prinsipnya, ia tidak menjajar, namun mengimbangi.
Sama ada berurusan dengan Washington DC, Beijing, Brussels mahu pun Riyadh, Malaysia menyambut semua perkongsian yang berasaskan keadilan, saling menghormati dan kerjasama yang aman.
Berkecuali bukan bermaksud mengelak, tetapi diplomasi dalam mencapai cita-cita.
Presiden Trump pernah melaungkan "pembedahan (langkah yang diambil) telah berjaya." Namun, bagi kebanyakan negara-negara Global Selatan, parutnya tetap kekal dan Malaysia enggan menjadi pesakit pasif, sebaliknya beraspirasi untuk menjadi arkitek protokol, penghubung serta dan norma baharu.
Pada titik penting dalam penyusunan semula global ini, Malaysia menawarkan lebih daripada penyesuaian. Ia menawarkan hala tuju.
Apa yang diperlukan oleh dunia yang mempunyai banyak kuasa ini adalah penghubung.
Ini bukan sekadar detik Malaysia untuk bertahan dalam mengharungi badai. Ia peluang untuk Malaysia bangkit lebih tinggi -- dan membantu merencana "langitnya" sendiri.
-- BERNAMA
CW SIM adalah Felow Kanan Strategic Pan Indo Pacific Arena (SPIPA).