EKONOMI

ASEAN: TARIF TIMBAL BALIK AS BERI CABARAN DAN JUGA PELUANG KEPADA PERKUMPULAN

07/04/2025 10:48 PM

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Ketika para pegawai kanan menamatkan hari pertama Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12, di sini, hari ini, rumusan utama yang dicapai adalah walaupun tarif timbal balik AS memberikan cabaran besar, namun dalam masa yang sama ia juga menawarkan peluang kepada negara anggota.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata solusi bagi perkumpulan itu adalah untuk meraih peluang bagi memperdalamkan lagi integrasi kewangan serta mengukuhkan daya tahan ASEAN serta membuka jalan bagi mencapai kemandirian.

Beliau berkata negara anggota ASEAN perlu mengukuhkan kerjasama, yang boleh menarik perdagangan dan pelaburan dari serantau dan global. Bagi tujuan ini, diplomat ASEAN berpendapat bahawa komitmen politik diperlukan untuk membangunkan pasaran Asia Tenggara yang lebih luas.

“Walaupun kita terus komited terhadap perdagangan antarabangsa, memupuk kerjasama lebih kukuh sesama ASEAN akan membuka jalan kepada komuniti ASEAN yang lebih berdikari dan berdaya tahan,” kata Amir Hamzah di luar mesyuarat persediaan bagi AFMGM di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Mesyuarat kewangan tertutup yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican itu adalah untuk membolehkan para pegawai memuktamadkan dokumen bagi menteri masing-masing untuk dibincangkan semasa AFMGM selama dua hari bermula pertengahan minggu ini.

Jadual mesyuarat sesi pagi hari ini termasuklah Mesyuarat Timbalan Kewangan ASEAN (AFDM) dan Mesyuarat Timbalan Bank Pusat ASEAN (ACDM), diikuti Mesyuarat Perbendaharaan AS-Timbalan Kewangan dan Bank Pusat ASEAN (AFCDM).

Pada tengah hari kemudiannya, Amir Hamzah merasmikan Malaysia Open House Exhibition @ASEAN 2025 di KLCC sebelum menyampaikan ucaptama pada persidangan Meja Bulat Pelabur ASEAN mengenai “Manfaatkan Peluang untuk Majukan Inisiatif Iklim ASEAN”. 

Susulan timbulnya huru-hara ekoran tarif yang menggelisahkan pasaran di seluruh dunia, Amir Hamzah memberitahu pemberita bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2025 akan disemak berdasarkan analisis impak oleh Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional (NGCC).

Tumpuan semakan itu akan membina daya tahan dalam sistem ASEAN.

Beliau berkata pengumuman tarif oleh Washington akan mengubah dinamik perdagangan dan persekitaran operasi, yang boleh mempengaruhi naratif pertumbuhan ekonomi dan memberikan cabaran serta peluang kepada ASEAN.

Timbalan Penolong Setiausaha Jabatan Perbendaharaan AS bagi Asia, Robert Kaproth, telah bertemu dengan kalangan pegawai kanan ASEAN dan memberi taklimat kepada mereka mengenai tarif yang dikenakan Presiden Donald Trump ke atas 168 negara, antaranya negara Indo-China ASEAN seperti Kemboja yang paling teruk terkesan dengan kadar tarif 49 peratus.

Pegawai AS itu turut berkongsi pandangan dasar Washington dan membincangkan kesan tarif AS yang baru dilaksanakan ke atas negara anggota ASEAN semasa AFCDM.

Sementara itu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour menggesa negara anggota ASEAN supaya meningkatkan pelaburan sektor swasta dalam projek iklim berikutan skala pelaburan yang diperlukan oleh rantau ini.

Semasa sesi Meja Bulat Pelabur ASEAN, beliau berkata walaupun kalangan negara anggota ASEAN melakarkan kemajuan menggalakkan dalam meletakkan asas untuk menggerakkan modal swasta kepada pembiayaan menangani kesan iklim namun ia masih tidak mencukupi.

“Menyalurkan hanya lima peratus daripada pembiayaan daripada pelabur institusi Asia kepada aktiviti berkaitan iklim boleh menjana aliran tahunan tambahan sebanyak US$8 bilion hingga US$10 bilion (US$1=RM4.44).

“Bagaimanapun, lebih banyak lagi diperlukan untuk memenuhi matlamat iklim yang amat besar di rantau ini,” katanya.

Kenyataan Abdul Rasheed itu adalah selari dengan satu daripada dua elemen tema ASEAN tahun ini, iaitu kemampanan.

Sementara itu, ucapan Amir Hamzah pula mencerminkan satu lagi elemen tema ASEAN 2025, iaitu keterangkuman, dengan menekankan keperluan daya tahan ekonomi dan kewangan yang lebih besar yang akan memberi manfaat kepada semua, terutama perusahaan kecil.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan