AM

MANGSA INSIDEN PUTRA HEIGHTS ALAMI TRAUMA, GURUH DISANGKA LETUPAN

07/04/2025 06:42 PM

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Dengar guruh sahaja sudah rasa takut umpama terdengar bunyi letupan.

Itu trauma dialami sebilangan mangsa insiden kebakaran dan letupan saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya yang mendapatkan khidmat kaunseling di Pusat Sokongan Sosial Setempat.

Kaunselor daripada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Noor Amira Mohamed Yatim berkata sejak pusat itu diwujudkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights Selasa lepas, ramai mangsa  tampil meluahkan kebimbangan mereka susulan insiden itu. 

“Jangankan bunyi guruh, ada yang takut untuk tutup pintu PPS kerana ada bunyi tertentu. 

“Apabila hal ini berlaku kita cuba rasionalkan semula pemikiran mereka supaya trauma itu tidak berpanjangan dan akan cetus atau jadi ancaman mereka pada masa hadapan,” katanya kepada Bernama di PPS itu di sini hari ini. 

Noor Amira yang berpengalaman dalam memberikan khidmat kaunseling selama lima tahun berkata pusat sokongan itu beroperasi 24 jam dengan lapan kaunselor dan enam staf sokongan yang bekerja secara syif. 

Beliau berkata pihaknya mengutamakan kaedah bersemuka kerana ada mangsa yang tidak dapat berjalan termasuk ibu yang dikhuatiri mengalami kemurungan lepas bersalin (PPD) jika tidak diberi sokongan emosi.

“Ada kanak-kanak apabila malam mimpi macam-macam dan meracau. Ada yang susah bernafas kita bantu untuk bernafas dengan betul kerana kalau tak dirawat dia akan menggigil, berpeluh hingga boleh pengsan,” katanya. 

Beliau berkata antara kebimbangan lain dalam kalangan mangsa ialah masalah kewangan lebih-lebih lagi untuk meneruskan kelangsungan hidup selepas keluar dari PPS. 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri hari ini dilaporkan berkata sebanyak 253 mangsa yang terjejas dalam insiden kebakaran gas itu telah menerima bantuan kaunseling dan hanya sebilangan kecil mengalami trauma serius.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan