KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Ahmad Baharudin Hamid hari ini pulang ke rumahnya di Kampung Sungai Baru yang hangus terbakar bagi mencari sisa barangan yang terselamat dalam kejadian kebakaran saluran gas di Putra Heights.
Dua anaknya yang masih menuntut di universiti bakal pulang ke kampus pada minggu depan dan memerlukan pakaian serta dokumen berkaitan untuk meneruskan pengajian.
Meskipun luluh melihatkan kesan kebakaran terutama di dinding, lantai dan bumbung rumah, pekerja bidang minyak dan gas itu bertekad mengembalikan semula seri kediaman yang dibina di atas tanah pusaka keluarganya.
"Rumah yang rosak ini saya akan baiki sedikit demi sedikit, saya tidak berfikir untuk berpindah ke tempat lain,” katanya ketika ditemui di Dewan Masjid Putra Heights di sini hari ini.
Ahmad Baharudin, 56, yang menetap di kampung berkenaan sejak lima tahun lepas berkata keputusan itu juga dibuat bagi memudahkan seorang anaknya yang menghidap autisme berulang alik ke tempat kerja di kawasan berhampiran.
Buat masa ini, beliau akan mencari kediaman di sekitar kampung berkenaan untuk disewa sementara menjalankan kerja-kerja membaik pulih rumahnya.
Menurutnya selain rumah, kejadian itu turut merosakkan kereta dan motosikal milik mereka.
Mengimbau kejadian pada Selasa lepas, Ahmad Baharudin berkata beliau terdengar bunyi kuat seolah-olah enjin pesawat yang hendak berlepas, selepas letupan berlaku kira-kira 70 meter dari rumahnya.
Susulan letupan itu katanya pakaian, atap dan barangan plastik yang berada di luar rumah menjadi debu dan cair akibat bahang.
"Alhamdulillah, saya, isteri dan empat anak berumur antara 29 hingga 21 tahun berjaya menyelamatkan diri dengan menaiki kereta dan tidak mengalami apa-apa kecederaan," katanya.
Insiden kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi Selasa lepas mengakibatkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Kejadian itu mengakibatkan 81 rumah disahkan musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 rumah separa musnah, 57 rumah terkesan tetapi tidak terbakar manakala sebanyak 218 rumah tidak terjejas.
-- BERNAMA