DUNIA

PRESTASI HAMBAR PASARAN SERANTAU HERET TURUN BURSA MALAYSIA

07/04/2025 06:54 PM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Bursa Malaysia terus diasak tekanan prestasi suram pasaran serantau serta kebimbangan berlakunya perang dagangan global yang menyaksikan indeks petunjuk utama susut 4.01 peratus pada akhir dagangan hari ini.

Penyusutan ketara di Indeks Hang Seng Hong Kong yang merosot 13.22 peratus untuk ditutup pada paras 19,828.30 manakala Nikkei 225 Jepun turun 7.83 peratus kepada 31,136.58, Indeks Straits Times Singapura menguncup 7.66 peratus kepada 3,532.80 dan Kospi Korea Selatan kehilangan 5.57 peratus kepada 2,328.20.

Pada 5 petang, Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 60.34 mata kepada 1,443.80 daripada 1,504.14 pada akhir dagangan Jumaat lepas.

Indeks penanda aras itu memulakan dagangan dengan menguncup 28.83 mata kepada 1,475.31 yang juga paras tertinggi hari ini sebelum menyusut ke paras serendah 1,419.05 pada sesi tengah hari.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 1,296 berbanding 122 manakala 170 kaunter tidak berubah, 771 tidak diniagakan manakala 19 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan melonjak kepada 5.35 bilion unit bernilai RM4.67 bilion daripada 1.81 bilion unit bernilai RM1.89 bilion, Jumaat lepas.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata sentimen risiko global tercetus apabila peserta pasaran memberi reaksi balas terhadap pendirian Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memperluaskan cengkaman tarifnya, sekali gus menimbulkan kebimbangan berlakunya gangguan perdagangan di peringkat global.

“Tekanan jualan kian ketara di serata Asia dengan penurunan mendadak di Jepun, China dan Hong Kong selain turut mengheret turun pasaran Korea Selatan, Singapura dan Australia.

“Kami melihat jualan ekuiti secara berlebihan pada hari ini yang pada masa sama turut menyuntik potensi nilai kepada pelabur jangka panjang yang melaksanakan strategi membeli ketika keadaan lemah,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan pula menyifatkan negara-negara Asia sebagai wilayah utama mengeluarkan sebahagian besar barangan dagangan global, akan mengalami kesan langsung daripada peningkatan tarif itu.

"Pasaran ekuiti di seluruh rantau ini, termasuk Malaysia, menyaksikan penjualan ketara yang hanya memaparkan kebimbangan terhadap perang perdagangan global yang kian meruncing,” katanya.

Di peringkat tempatan, saham wajaran tinggi Maybank susut 24 sen kepada RM10, Public Bank rugi 16 sen kepada RM4.21, Tenaga Nasional turun 36 sen kepada RM13.12, CIMB menyusut 39 sen kepada RM6.62 manakala IHH Healthcare berkurangan lapan sen kepada RM6.71.

Bagi saham aktif, MYEG susut 21 sen kepada 71 sen, Velesto Energy turun dua sen kepada 14 sen, Ta Win rugi setengah sen kepada dua sen, Inari Amertron berkurangan 34 sen kepada RM1.54 dan Gamuda menguncup 36 sen kepada RM3.69.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas merosot 577.09 mata kepada 10,618.56, Indeks FBMT 100 susut 539.57 mata kepada 10,434.31 dan Indeks FBM Emas Shariah menguncup 621.41 mata kepada 10,301.77.

Indeks FBM 70 juga susut 1,175.30 mata kepada 14,675.87 manakala Indeks FBM ACE turun 379.88 mata kepada 4,252.72.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 697.24 mata kepada 17,609.27, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 11.71 mata kepada 135.49, Indeks Tenaga turun 76.89 mata kepada 642.38 manakala Indeks Perladangan menguncup 233.39 mata kepada 7,098.80.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 3.01 bilion unit bernilai RM4.37 bilion berbanding 1.35 bilion unit bernilai RM1.79 bilion pada Jumaat lepas.

Selain itu, jumlah waran turun kepada 1.68 bilion unit bernilai RM114.13 juta daripada 189.56 juta unit bernilai RM11.57 juta pada minggu lepas.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 648.79 juta unit bernilai RM181.09 juta daripada 268.14 juta unit bernilai RM90.36 juta sebelum ini.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 423.46 juta saham didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (565.36 juta), pembinaan (223.29 juta), teknologi (547.17 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (264.66 juta), hartanah (271.64 juta), perladangan (55.53 juta), REIT (39.97 juta), dana tertutup (32,700), tenaga (302.71 juta), penjagaan kesihatan (115.03 juta), telekomunikasi dan media (60.81 juta), pengangkutan dan logistik (42.22 juta), utiliti (97.32 juta), dan amanah perniagaan (197,400).

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan