EKONOMI

PELABUR ASING JUAL EKUITI ASIA RM31.68 BILION, KOREA SELATAN CATAT JUALAN TERTINGGI

07/04/2025 01:52 PM

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Pelabur asing kembali menjadi penjual bersih di lapan pasaran Asia minggu lepas, mencatatkan aliran keluar bersih yang tinggi sebanyak US$7.12 bilion (RM31.68 bilion, US$1 = RM4.45), dengan Korea Selatan dan India menerima tekanan jualan yang paling tinggi.

Menurut Laporan Aliran Dana MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF Amanah) untuk minggu berakhir 4 April 2025, Korea Selatan menyaksikan aliran keluar bersih sebanyak US$4.44 bilion, hampir 20 kali ganda lebih tinggi berbanding aliran keluar pada minggu sebelumnya dan meneruskan aliran keluar asing selama dua minggu berturut-turut.

Katanya ini disebabkan pergolakan politik di Korea Selatan, didorong oleh pemecatan Presiden Yoon Suk Yeol oleh Mahkamah Perlembagaan selain tarif baharu Amerika Syarikat (AS), yang menyebabkan ketidaktentuan lebih ketara dan pelabur asing mengeluarkan dana mereka dari pasaran.

Katanya Korea Selatan berdepan tarif setinggi 26 peratus, menambah lagi kebimbangan mengenai perang perdagangan global dan memberi impak negatif kepada sentimen pelabur terhadap pasaran Korea Selatan.

“India mencatatkan aliran keluar asing bersih kedua tertinggi di rantau ini dengan pengeluaran sebanyak US$1.21 bilion, menjadikan satu lagi perubahan selepas aliran masuk selama seminggu.

“Pada 2 April 2025, Presiden AS Donald Trump mengumumkan tarif asas 10 peratus ke atas semua barangan import, dengan tarif balas yang lebih tinggi untuk negara tertentu, termasuk tarif sebanyak 27 peratus ke atas barangan India berkuat kuasa 9 April 2025,” katanya.

Menurut MIDF Amanah, Taiwan turut mencatatkan aliran keluar yang ketara selama enam minggu berturut-turut sebanyak US$814.6 juta, didorong oleh tarif balas sebanyak 32 peratus ke atas import dari Taiwan, mewujudkan kebimbangan dalam kalangan pelabur mengenai daya saing eksportnya, terutamanya dalam sektor yang amat bergantung pada pasaran AS.

Katanya Vietnam dan Thailand, masing-masing dikenakan tarif balas sebanyak 46 peratus dan 36 peratus, berkuat kuasa 9 April 2025.

“Sementara itu, Vietnam mencatatkan aliran keluar untuk minggu kesembilan berturut-turut, berjumlah US$345.0 juta, lebih empat kali ganda berbanding minggu sebelumnya dan Thailand turut meneruskan aliran keluar asing kepada minggu keenam, dengan aliran keluar sebanyak US$202.4 juta,” katanya.

Bagaimanapun, Filipina merekodkan aliran keluar terendah daripada pasaran yang dipantau, meneruskan aliran jualan selama dua minggu dengan aliran keluar asing bersih yang sederhana sebanyak US$14.9 juta manakala pasaran Indonesia tidak mencatatkan sebarang aliran dana minggu lepas berikutan pasaran ditutup disebabkan sambutan Hari Raya Aidilfitri sepanjang minggu tersebut, katanya.

Pelabur asing meneruskan aliran jualan mereka di Bursa Malaysia pada minggu ke-24 berturut-turut, mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM426.6 juta, lebih rendah daripada aliran keluar bersih sebanyak RM1.15 bilion dicatatkan pada minggu sebelumnya, disebabkan pasaran ditutup selama dua hari berikutan sambutan Hari Raya.

Menurut MIDF Amanah, institusi tempatan terus menjadi penampan terhadap jualan asing, mencatatkan belian bersih untuk minggu ke-24 berturut-turut dengan aliran masuk berjumlah RM369.1 juta.

“Sementara itu, pelabur runcit tempatan kembali menjadi pembeli bersih, menamatkan aliran jualan selama seminggu dengan aliran masuk sebanyak RM57.5 juta.

“Purata jumlah dagangan harian menyaksikan penurunan yang meluas. Penyertaan pelabur asing dan institusi tempatan, masing-masing merosot sebanyak 11.7 peratus dan 28.8 peratus manakala runcit tempatan menyaksikan peningkatan sebanyak 2.2 peratus,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan