EKONOMI

SARANAN PM ANWAR TIDAK LAKSANA TARIF BALAS ADALAH LANGKAH BIJAK - RAIS HUSSIN

07/04/2025 08:48 PM

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Malaysia tidak melaksanakan tarif balas susulan kenaikan tarif baharu Amerika Syarikat (AS) mungkin membuktikan satu langkah yang lebih bijak, kata Pengasas EMIR Research Datuk Dr Rais Hussin.

Beliau berkata respons Malaysia menunjukkan kematangan strategik dengan tumpuan untuk mengekalkan keyakinan pelabur, melindungi ruang dasar kedaulatan dan mempercepat transformasi ekonomi.

“Masa depan ekonomi global khususnya kuasa ekonomi pertengahan seperti Malaysia bergantung kepada keupayaan kita mengharungi gangguan sedemikian.

“Jawapan itu bukanlah reaksi spontan namun merupakan daya tahan strategik, kepelbagaian sekutu dan agensi kedaulatan yang tegas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 2 April 2025, Presiden AS Donald Trump mengumumkan siri tarif baharu yang memberi impak kepada banyak negara termasuk Malaysia pada kadar 24 peratus.

Semalam, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan mengalami  kemelesetan buat masa ini meskipun pelaksanaan tarif oleh AS memandangkan ekonomi negara yang kekal berdaya tahan.

Anwar juga menegaskan Malaysia tidak akan memperkenalkan tarif tindak balas terhadap AS. 

Rais berkata bagi negara yang mempunyai kapasiti terhad dalam penggantian import (asas industri yang kurang maju) atau rantaian bekalan yang tidak pelbagai, peningkatan perang tarif hanya akan menambahkan lagi kelemahan yang ada di peringkat domestik.

"Walaupun mungkin terdapat dorongan untuk membalas dengan tarif yang sepadan, melakukan sedemikian boleh memberikan kesan buruk kepada negara berkenaan. Sekatan perdagangan bukan sahaja menjejaskan negara yang disasarkan, malah negara yang mengenakan tarif itu,” katanya.

Beliau berkata Malaysia dilaporkan sedang mendapat perhatian mengenai dasar yang melibatkan pensijilan halal, peraturan digital dan layanan istimewa kepada syarikat tempatan.

“Bagaimanapun, banyak daripada langkah ini adalah keputusan negara yang bertunjangkan kepada nilai nasional dan matlamat pembangunan -- ia tidak harus diuruskan dalam keadaan tekanan,” katanya.

Rais berpandangan bahawa, berbanding bertindak secara keterlaluan, negara-negara yang terperangkap dalam pergolakan ini perlu meneruskan penggantian import strategik terlebih dahulu tetapi bukan melalui tarif.

Selain itu, Malaysia perlu mempercepat kepelbagaian rantaian bekalan dan memperkukuh hubungan perdagangan pelbagai hala serta kerjasama Selatan-Selatan.

“Malaysia dan ASEAN perlu memperkukuh hubungan dengan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), dan blok perdagangan utama seperti Kesatuan Eropah (EU) dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

“Memperluas pasaran ke Afrika, Latin Amerika dan Timur Tengah juga amat penting. Penyertaan proaktif Malaysia dalam rangkaian BRICS yang diperluaskan juga membuka koridor baharu yang menggalakkan untuk perdagangan, pelaburan dan pertukaran pengetahuan,” katanya.

Beliau berkata ekonomi utama Asia telah mula merancang strategi balas, dengan China, Jepun, dan Korea Selatan meningkatkan hubungan trilateral termasuk pelaburan bersama dalam rantaian bekalan semikonduktor.

“Ini adalah strategi daya tahan jangka panjang, bukan sekadar reaksi. Malaysia dan ASEAN perlu bertindak tegas untuk mengikuti perkembangan ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan