EKONOMI

PEGAWAI PERBENDAHARAAN AS BINCANG TARIF BERSAMA PEGAWAI ASEAN

07/04/2025 07:13 PM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Timbalan Penolong Setiausaha Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) bagi Asia, Robert Kaproth bertemu dengan kalangan pegawai kanan ASEAN di sini hari ini bagi memberi taklimat mengenai pengenaan tarif ke atas 168 negara oleh AS.

Semasa Mesyuarat Timbalan Kewangan dan Bank Pusat ASEAN (AFCDM), pegawai AS itu berkongsi tinjauan dasar Washington dan membincangkan kesan tarif AS yang baru dilaksanakan ke atas negara anggota ASEAN.

Menerusi catatan di platform media sosial X, Kementerian Kewangan Malaysia menjelaskan mesyuarat itu menyediakan laluan kepada kalangan timbalan menteri kewangan dan timbalan gabenor bank pusat ASEAN untuk berinteraksi secara langsung dengan Jabatan Perbendaharaan AS secara tertutup.

Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai mesyuarat yang berlangsung selama sejam itu tidak didedahkan.

Negara anggota Indo-China ASEAN dilaporkan menjadi yang paling teruk terkesan ekoran tarif tersebut, dengan Kemboja menghadapi tarif asas dan tarif balas sebanyak 49 peratus, diikuti Laos (48 peratus), Vietnam (46 peratus), dan Myanmar (44 peratus).

Sementara itu, Thailand dikenakan tarif sebanyak 36 peratus, Indonesia 32 peratus, Brunei dan Malaysia masing-masing 24 peratus, Filipina 17 peratus, dan Singapura dikenakan tarif asas sebanyak 10 peratus.

Negara anggota ASEAN menunjukkan kesatuan dengan mengambil pendirian tidak mengenakan tarif balas dan berusaha ke arah penyelesaian yang baik.

Bagi Malaysia, kerajaan telah menyangkal dakwaan pihak berkuasa AS bahawa negara mengenakan tarif 47 peratus ke atas import AS.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan asas bagi pengiraan tarif itu pada asasnya tidak tepat yang menyebabkan Malaysia dikenakan tarif balas sebanyak 24 peratus.

“Oleh itu, kita akan bertindak dengan tenang, tegas dan berpandukan kepentingan strategik Malaysia, dan matlamat kita adalah jelas.

“Kerajaan komited sepenuhnya untuk mencapai resolusi yang akan mengekalkan akses pasaran yang penting, menarik pelaburan asing yang berterusan, dan menyokong kesejahteraan pekerja dan perniagaan Malaysia,” kata beliau menerusi satu kenyataan video yang mengulas mengenai isu tarif AS pada Ahad.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan