AM

PRP MANTIN BANTU PENGHUNI TINGKATKAN KEMAHIRAN DIRI

08/04/2025 11:12 AM

Oleh Sarinah Mat Kasim

NILAI, 8 April (Bernama) -- Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Mantin komited menyediakan pelbagai latihan dan kemahiran pembangunan diri kepada penghuninya bagi memastikan mereka bersedia menyumbang kepada masyarakat selepas pembebasan.

Pelbagai kemahiran dan produk dihasilkan oleh penghuni di sini sejak tertubuhnya pusat berkenaan,  antaranya dalam bidang kulinari, mengurut, cuci kereta, bercucuk tanam dan pelbagai lagi bagi menjana pendapatan meskipun berada dalam pusat tahanan.

Terbaharu, tenaga pengajar Sarjan Ruzita Mohd Hashim, 42, berkata penghuni di PRP di sini kini mengusahakan produk karipap sejuk beku susulan kejayaan mereka menghasilkan pau sejuk beku sebelum ini yang berjaya menembusi pasaran.

"Sehari kita akan menguli karipap antara enam hingga 10 kilogram tepung atau hampir 300 biji berdasarkan permintaan.

"Setakat ini, kami hanya membuat berdasarkan tempahan kerana kita buat sepenuhnya secara buatan tangan tidak mengunakan sebarang mesin, jadi penghasilan produk itu terhad," katanya kepada Bernama di sini.

Ruzita berkata sebagai permulaan ini terdapat enam penghuni di PRP Mantin terlibat dalam program pemulihan dan kemahiran membuat karipap sejuk beku.

Beliau berkata antara yang mendapat sambutan ialah karipap berinti kambing, selain turut menyediakan karipap sardin, ayam dan daging yang dijual antara RM6 hingga RM8 mengikut jenis. 

Penghuni di sini akan diberi upah dan duit gaji berkenaan akan dipegang oleh pihak pentadbiran sebelum diserahkan sepenuhnya kepada mereka apabila dibebaskan kemudian.

“Setakat ini, kami berjaya menghantar lebih 100 peket sehari ke luar kawasan malah pada Ramadan lepas kami menerima tempahan tiga kali ganda daripada biasa.

"Alhamdulillah, dengan kemahiran dan ilmu yang ada ini dapatlah mengajar penghuni di sini untuk melakukan perniagaan membuat karipap sejuk beku sendiri selain berdikari apabila dibebaskan kelak," katanya.

Dalam pada itu, menurut seorang daripada penghuni dikenali sebagai Ismail, 57, dia bersyukur kerana terpilih mengikuti program latihan kemahiran ini.

Dia yang dipenjara selama lima tahun atas kesalahan penyalahgunaan dadah itu, berharap ilmu yang dipelajari dapat membantu mengubah nasib selepas dibebaskan tahun depan.

"Saya bersyukur dapat pelajari ilmu membuat karipap sejuk beku, sebelum ni tak pernah terfikir pun, harap lepas keluar nanti boleh teruskan dengan menyertai usahawan IKS (Industri Kecil dan Sederhana) untuk menjana pendapatan sendiri," katanya yang berasal dari Jempol.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan