JELI, 8 April (Bernama) — Kelantan yang terkenal dengan kewujudan tiga spesies Rafflesia kini berdepan beberapa cabaran dalam usaha pemuliharaan bunga gergasi itu, termasuk pembangunan kawasan pertanian yang pesat serta tahap kesedaran masyarakat yang masih rendah terhadap kepentingan konservasi.
Dekan Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Madya Dr. Zulhazman Hamzah berkata aktiviti pertanian yang berlaku berhampiran habitat semula jadi Rafflesia perlu ditangani secara lebih berhemah bagi memastikan kelestarian spesies bunga terbesar di dunia itu.
“Kawasan seperti Lojing yang dahulunya kaya dengan populasi Rafflesia kini semakin berkurangan akibat pembangunan pertanian berskala besar yang tidak lestari,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata terdapat 26 populasi Rafflesia yang dikenal pasti di Lojing pada tahun 2008, walau bagaimanapun populasi tersebut semakin berkurangan dari tahun ke tahun menjadikan kawalan terhadap ekosistem di kawasan itu satu keperluan mendesak.
“Jika trend ini berterusan tanpa pemantauan dan pengurusan yang sistematik, kita mungkin akan kehilangan antara khazanah alam paling berharga di negara ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Zulhazman berkata terdapat kira-kira 43 spesies Rafflesia di seluruh dunia dan ia hanya boleh ditemui di lima negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand serta Brunei.
“Malaysia sendiri mempunyai 14 spesies dengan sembilan daripadanya berada di Semenanjung Malaysia dan lima lagi di Sabah serta Sarawak,” katanya.
Bagaimanapun, kelemahan dalam pemantauan serta sikap segelintir pihak yang tidak mengambil serius kepentingan konservasi menjadi antara ancaman kepada spesies ini.
“Kesedaran masyarakat masih rendah, menyebabkan usaha pemuliharaan sering dipandang remeh,” katanya.
Usaha pemuliharaan Rafflesia di Kelantan bermula sejak 2008 menerusi Ekspedisi Saintifik Lojing yang melibatkan lebih 100 peserta daripada pelbagai universiti dan agensi kerajaan.
Menurutnya pada 2010, kawasan seluas 400 hektar di Lojing telah diwartakan sebagai Kawasan Konservasi Rafflesia oleh Kerajaan Negeri Kelantan dan sejak itu, pelbagai kajian dijalankan termasuk mengenai pertumbuhan, pendebungaan dan penyebaran biji benih bunga ini.
Bagaimanapun, Zulhazman menjelaskan bahawa usaha pemuliharaan semakin mencabar apabila aktiviti pertanian semakin berkembang di kawasan berhampiran habitat semula jadi Rafflesia.
Sehubungan itu, beliau menegaskan perlunya kawalan lebih rapi terhadap aktiviti yang boleh menjejaskan ekosistem Rafflesia.
“Antara langkah yang dicadangkan termasuk mengamalkan kaedah pembangunan yang lestari berhampiran kawasan konservasi serta mengenakan peraturan yang lebih mesra alam terhadap aktiviti pertanian dan pelancongan,” katanya.
Selain itu, beliau mengesyorkan supaya komuniti Orang Asli dilibatkan dengan lebih intensif lagi dalam usaha pemuliharaan serta menjalankan kempen kesedaran secara berterusan kepada masyarakat dan pelancong.
“Jika langkah-langkah ini tidak diambil segera, habitat Rafflesia akan terus terancam dan kita mungkin akan kehilangan spesies ini dalam tempoh beberapa dekad akan datang,” katanya.
Kelantan merupakan antara negeri yang mempunyai kepelbagaian spesies bunga pakma dengan tiga spesies utama ditemui di negeri ini iaitu Rafflesia kerri, Rafflesia cantleyi dan Rafflesia su-meiae.
Zulhazman berkata keunikan spesies Rafflesia di Kelantan menjadikan negeri itu berpotensi menjadi pusat rujukan utama bagi pemuliharaan dan kajian saintifik mengenai spesies berkenaan di Malaysia.
“Jika kerajaan negeri dan pihak berkepentingan bekerjasama dengan lebih proaktif dalam pelaksanaan strategi konservasi, Kelantan boleh muncul sebagai pusat penyelidikan dan pelancongan ekologi yang terkenal di peringkat antarabangsa,” katanya.
Namun, tanpa langkah kawalan yang lebih berkesan, usaha konservasi ini mungkin tidak mencukupi untuk memastikan kelangsungan bunga gergasi itu pada masa hadapan.
-- BERNAMA