Oleh Kenny Teng Khoon Hock
BANGKOK, 12 April (Bernama) – Thailand memulakan sambutan Festival Air Dunia Maha Songkran 2025 dengan perarakan meriah di Bangkok pada Sabtu, menandakan permulaan sambutan Tahun Baharu Thai secara tradisional.
Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra bersama menteri-menteri kabinet menghadiri majlis pembukaan Songkran tahun ini, yang telah didaftarkan secara rasmi dalam Senarai Wakil Warisan Budaya Tak Ketara Kemanusiaan Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2023.
“Festival Air Dunia Maha Songkran 2025 juga bertujuan melonjakkan pelancongan, merangsang ekonomi dan menyerlahkan keupayaan Thailand menganjurkan acara bertaraf dunia,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sementara itu, Pesuruhjaya Biro Imigresen, Lt. Jen Pol. Panumas Boonyalak berkata pegawai imigresen dan pihak berkuasa lapangan terbang telah digerakkan di seluruh negara bagi memastikan keselamatan serta memberi kemudahan kepada pelancong asing dan orang ramai semasa musim perayaan.
Beliau berkata Thailand kini memasuki musim puncak pelancongan, dengan peningkatan ketara ketibaan pelancong asing dijangka semasa Songkran, dengan jumlah harian pelancong diunjur mencecah 150,000 orang.
“Biro Imigresen telah bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan lain untuk melaksanakan operasi di seluruh negara bagi memastikan keselamatan, meningkatkan imej Thailand dan mengoptimumkan potensi pelancongannya,” katanya.
Songkran, yang secara tradisinya disambut dari 13 hingga 15 April, merangkumi pertemuan semula keluarga, penghormatan kepada warga tua dan leluhur, serta upacara membasuh patung Buddha.
Tahun ini, Rabu 16 April telah diisytiharkan sebagai cuti umum tambahan bagi menggantikan cuti 13 April yang jatuh pada hari Ahad.
Perayaan ini terkenal dengan aktiviti simbahan air, perarakan berwarna-warni dan pertunjukan kebudayaan yang melambangkan permulaan Tahun Baharu Thai dalam suasana ceria.
-- BERNAMA