JENAYAH & MAHKAMAH

REMAJA LELAKI DITAHAN DISYAKI SUNTING, EDAR DAN JUAL GAMBAR LUCAH GUNA AI

09/04/2025 05:04 PM

JOHOR BAHRU, 9 April (Bernama) -- Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan menyunting, mengedar dan menjual gambar lucah yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) di media sosial.

Ketua Polis Johor Datuk M. Kumar berkata pada 3 April lepas, pihaknya menerima laporan daripada seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang mendakwa 'gambar bogel' yang tular di media sosial menggunakan wajahnya dipercayai disunting, telah dijual kepada orang ramai secara dalam talian.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai telah membuat tangkapan terhadap remaja lelaki itu kira-kira 5 petang semalam di kawasan Kulai.

"Turut dirampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk menyunting dan memuat naik gambar tersebut ke laman sosial bagi dijual pada harga RM2 sekeping.

"Siasatan awal mendapati remaja tersebut memperoleh gambar mangsa daripada akaun media sosial mangsa sebelum disunting menggunakan aplikasi AI," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata setakat ini, polis Johor telah menerima lapan laporan daripada mangsa lain dipercayai berkaitan dengan suspek yang sama.

Beliau berkata suspek kini direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tambah beliau bagi kesalahan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan suspek boleh dihukum penjara hingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga satu tahun atau kedua-duanya.

Beliau turut menasihatkan orang awam yang menjadi mangsa untuk tampil membuat laporan di balai polis berhampiran bagi tindakan lanjut.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak menyebarkan gambar mangsa di media sosial serta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

"Sebarang maklumat berkaitan kes boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Insp Nurul Huda Shohodin di talian 013-5382698," katanya.

--BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan