KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengimbau nostalgia bersama Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi yang telah kembali ke rahmatullah semalam.
Mendedikasikan sebuah video berdurasi hampir seminit, memaparkan gambar kedua-dua tokoh itu, berlatarkan lagu “Pergi” oleh Aizat Amdan di akaun media sosial beliau, dengan kapsyen: “Susuk Pak Lah pasti meninggalkan bekas yang mendalam kepada rakyat dan negara.
“Berehatlah, Pak Lah. Malaysia ternyata terhutang budi atas jasa sang negarawan yang membumi,” menurut hantaran itu.
Setakat 10 malam, hantaran itu menerima 43,700 ‘like’ dengan lebih 492,000 tontonan di Instagram dan 23,500 ‘like’ di Facebook.
Hantaran itu turut menerima komen bekas menteri Khairy Jamaluddin yang juga menantu kepada Tun Abdullah, yang menzahirkan penghargaan atas ingatan kepada Allahyarham.
“Kami sekeluarga amat tersentuh dengan kemuliaan kata Datuk Seri (Anwar) kepada ayahanda Pak Lah.
“Penghargaan jua kepada Datuk Seri dan kerajaan kerana memberi penghormatan kepada Pak Lah dengan mengizinkan satu istiadat pengebumian yang teristimewa dan kebenaran untuk jenazahnya disemadikan di Makam Pahlawan bersama negarawan-negarawan yang lain,” katanya.
Allahyarham selamat disemadikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan di Masjid Negara pada kira-kira 2.30 petang tadi.
Tun Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam semalam dan IJN dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa negarawan itu dimasukkan ke hospital pagi Ahad selepas mengalami kesukaran bernafas.
-- BERNAMA