AM

SYARAT KELAYAKAN GERAN PADANAN I-BAP DIPERMUDAH - RAMANAN

09/04/2025 06:42 PM

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Syarat kelayakan memohon geran padanan hingga RM100,000 di bawah Program Business Accelerator untuk syarikat milikan India bersaiz kecil (I-BAP) kini dipermudah bagi menggalakkan lebih banyak Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) India mendapat manfaat.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata permohonan geran itu dibuka secara dalam talian sejak Isnin namun syarat kelayakan menetapkan perniagaan dengan jualan tahunan melebihi RM300,000 setahun sahaja layak memohon telah dimansuhkan.

“Selain tiada lagi ketetapan had minimum jumlah jualan tahunan, I-BAP dipermudah dengan keutamaan diberi kepada projek yang selesai dilaksanakan dan telah membuat pembayaran kepada pembekal bermula 1 Jun 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata penambahbaikan itu dibuat berikutan sambutan menggalakkan dalam kalangan usahawan India namun untuk memohonnya mereka perlu mempunyai Sijil Akuan Status PMKS yang sah tempoh, selain menjalani Penilaian PMKS sekiranya memohon projek berkaitan adaptasi amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Geran yang diterima merangkumi perbelanjaan perolehan mesin dan peralatan bagi meningkatkan kualiti produk serta produktiviti selain kecekapan pengeluaran, adaptasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan e-dagang, penerapan ESG, pensijilan produk serta pengiklanan dan promosi.

“Bantuan bersasar melalui I-BAP membuktikan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam meningkatkan pembangunan komuniti India sejajar dengan gagasan Malaysia MADANI yang menyasarkan pertumbuhan ekonomi lebih saksama dan inklusif.

“Melalui prinsip kesaksamaan dan keterangkuman ditekankan di bawah Malaysia MADANI, kerajaan yakin pendekatan ini berupaya mengurangkan jurang ekonomi antara kaum,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia Rizal Nainy berkata sehingga kini, sebanyak 48 syarikat telah diluluskan geran berjumlah RM2.96 juta di bawah I-BAP dengan sebahagian besar penerimanya terdiri perusahaan bersaiz kecil.

“Bantuan kepada kumpulan ini diharap berupaya membantu menaik taraf perniagaan mereka sejajar dengan hasrat SME Corp kerana Malaysia memberi tumpuan terhadap penskalaan PMKS dalam RMK-13, khususnya bagi meningkatkan bilangan perusahaan bersaiz sederhana kepada lima peratus berbanding 1.8 peratus ketika ini,” katanya.

Rizal berkata permohonan baharu bagi bantuan itu akan dibuka selama dua minggu atau sehingga penerimaan permohonan mencapai jumlah komitmen maksimum yang diperuntukkan.

Usahawan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai kriteria kelayakan dan syarat permohonan I-BAP boleh melayari laman sesawang di pautan www.smecorp.gov.my dan saluran media sosial rasmi SME Corp Malaysia.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan