AM

160 PROSES REFORMASI KARENAH BIROKRASI BERJAYA DILAKSANAKAN - KSN

15/04/2025 12:58 AM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Sebanyak 160 projek atau proses Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) yang bertujuan menambah baik kecekapan kerajaan ke arah melonjakkan produktiviti dan daya saing, mempermudah urusan perniagaan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat berjaya dilaksanakan sehingga kini.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata kejayaan itu, direkodkan bagi tempoh pertengahan tahun lepas sehingga bulan ini, sekali gus membuktikan kemampuan penjawat awam untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau berkata pada tahun ini, sebanyak 200 proses kerja disasarkan untuk ditambah baik dan dikurangkan karenah birokrasi.

“Antara kejayaan RKB ini termasuk proses urusan pembangunan Majlis Perbandaran Kulim, Kedah yang berjaya mengurangkan tempoh proses daripada 23 bulan kepada 11 bulan.

“Banyak lagi initiatif yang akan kita laksanakan untuk mengurangkan karenah birokrasi dan kita sasarkan sebanyak 200 proses kerja dipendekkan tahun ini, selaras dengan Rang Undang-Undang Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 yang diluluskan Dewan Rakyat, baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Bicarawara Suara Anak MADANI 2025: Episod Raya sempena Program Rumah Terbuka MADANI: Meraikan Kebersamaan dan Pelancaran Rintis Suara Anak Muda MADANI 2025 di Damansara, Petaling Jaya, di sini malam ini.

Shamsul Azri berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim amat mempercayai sistem perkhidmatan perjawat awam dan jentera kerajaan, dalam melaksanakan dasar serta polisi yang diperkenalkan.

Sehubungan itu, beliau berharap semua penjawat awam dapat meningkatkan dan sentiasa menambah baik perkhdimatan serta kualiti dan prestasi kerja agarkan usaha reformasi perkhidmatan awam berjaya.

Program anjuran Pejabat Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Yayasan Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (Yayasan PEACE).

Selain Shamsul Azri, sesi bicarawara itu turut menampilkan Timbalan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Dr Abdul Gapar Abu Bakar manakala Shamsul Iskandar bertindak sebagai moderator. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan